Pada tahun 1941, ketika pemerintahan Hitler berleluasa di seluruh Eropah, penulis novel John Steinbeck diminta untuk menyumbang dalam perang. Tugasnya bukan untuk bertempur atau mengunjungi pasukan di barisan hadapan medan perang, sebaliknya dia diminta untuk menulis cerita. Hasil tulisannya ialah The Moon Is Down (Bulan Turun), sebuah novel yang menceritakan sebuah wilayah yang aman diserang oleh rejim jahat. Ia dicetak dan diedarkan secara rahsia ke seluruh negara jajahan. Novel tersebut membawa mesej: Pihak Sekutu akan datang, dan dengan meniru watak-watak dalam novel itu, ia dapat membantu para pembaca yakin akan pembebasan mereka. Melalui novel The Moon Is Down, Steinbeck membawa berita baik kepada orang di bawah pemerintahan Nazi—pembebasan mereka sudah hampir.!

Seperti watak-watak dalam novel Steinbeck, orang Yahudi pada abad pertama adalah orang yang dijajah di bawah pemerintahan Roma yang kejam. Tetapi pada abad-abad sebelumnya, Tuhan telah berjanji untuk mengutus seorang Sekutu untuk membebaskan mereka dan membawa kedamaian kepada dunia (Yesaya 11). Kegembiraan timbul ketika Sekutu itu datang! “Oleh itu kami di sini untuk menyampaikan Berita Baik ini kepada kamu,” kata Paulus. “Apa yang dijanjikan oleh Allah kepada nenek moyang kita, sudah dilakukan-Nya bagi kita … dengan membangkitkan Yesus daripada kematian” (Kisah Rasul-Rasul 13:32–33). Melalui kebangkitan Yesus dan pengampunan dosa yang ditawarkan, pemulihan dunia telah bermula (ayat 38-39; Roma 8:21).

Sejak itu, kisah ini telah tersebar ke seluruh dunia, membawa kedamaian dan kebebasan di mana sahaja ia disebarkan. Yesus telah dibangkitkan daripada kematian. Kita telah dibebaskan daripada dosa dan kejahatan. Kita adalah bebas dalam Dia!