Musim bunga yang biasa berubah menjadi waktu yang istimewa ketika saya dan isteri bersiar-siar di Grand River di kampung halaman kami. Kami memerhatikan beberapa “rakan” yang kami kenali bersantai di atas kayu balak di tengah-tengah sungai yang beriak-riak. Terdapat 5 atau 6 ekor penyu besar sedang berjemur di bawah sinar matahari. Saya dan Sue tersenyum memerhatikan reptilia luar biasa ini, yang sudah lama kami tidak melihatnya. Kami gembira kerana dapat melihat penyu-penyu itu semula dan bersyukur untuk ciptaan Tuhan yang menakjubkan.  

Tuhan membawa Ayub bersiar-siar melihat alam semesta (lihat Ayub 38). Ayub yang menghadapi masalah memerlukan jawapan daripada Penciptanya atas keadaan yang dialaminya (ayat 1). Melalui ciptaan Tuhan yang dilihat Ayub sepanjang perjalanan itu, dia mendapat dorongan yang diperlukan.

Bayangkanlah kekaguman Ayub ketika Tuhan mengingatkannya tentang keagungan reka bentuk dunia yang dicipta-Nya. Ayub mendapat penjelasan langsung tentang alam semesta: “Siapakah yang meletakkan batu penjuru dunia ini—pada waktu bintang-bintang pagi bernyanyi bersama-sama, dan makhluk-makhluk syurga bersorak gembira?” (ayat 6-7). Dia mendapat pengetahuan geografi mengenai sempadan laut yang ditentukan Tuhan (ayat 11).

Pencipta memberitahu Ayub tentang cahaya yang disinarkan-Nya, salji yang diturunkan-Nya, dan hujan yang dicurahkan-Nya untuk membuat sesuatu tumbuh (ayat 19-28). Ayub bahkan mendengarkan gugusan bintang yang dilemparkan-Nya ke angkasa (ayat 31-32).

Akhirnya Ayub menjawab, “Aku tahu, ya TUHAN, bahawa Engkau dapat melakukan segala sesuatu” (42:2). Ketika kita menikmati alam semula jadi, semoga kita kagum dengan Pencipta kita yang bijaksana dan ajaib.