Lazimnya, jubin seramik berwarna biru dan putih ialah hiasan yang dijumpai di rumah orang Belanda, yang pada asalnya dibuat di bandar Delft. Hiasan jubin itu sering menggambarkan pemandangan yang biasa dilihat di negara Belanda: landskap yang indah, kincir angin yang ada di mana-mana, kehidupan harian penduduk yang bekerja dan bermain.
Pada abad ke-19, Charles Dickens menulis bagaimana jubin-jubin ini digunakan untuk menggambarkan Alkitab dalam bukunya, A Christmas Carol (Karol Krismas). Dia menggambarkan perapian lama yang dibina oleh orang Belanda yang diturapi dengan jubin Delft yang aneh tetapi menarik: gambar “Kain dan Habel, anak-anak perempuan Firaun; Ratu Sheba, … [dan] para Rasul belayar di laut.” Banyak keluarga menggunakan jubin ini sebagai alat pengajaran ketika seluruh keluarga berkumpul di sekitar perapian yang panas dan bercerita mengenai kisah-kisah Alkitab. Mereka belajar tentang sifat Tuhan—keadilan, belas kasihan dan kemurahan Tuhan.
Kebenaran Alkitab masih relevan pada hari ini. Mazmur 78 mendorong kita mengajar “rahsia zaman dahulu, perkara yang telah kita dengar dan ketahui, yang telah diberitahu oleh nenek moyang kita” (ayat 2-3). Selanjutnya Alkitab mengarahkan kita memberitahu “keturunan yang akan datang tentang kuasa TUHAN dan tindakan-Nya yang hebat” dan “keturunan selanjutnya … memberitahunya kepada anak-anak mereka” (ayat 4, 6).
Dengan pertolongan Tuhan, kita dapat mencari cara yang kreatif dan berkesan untuk menceritakan kebenaran Alkitab kepada setiap generasi apabila kita berusaha untuk memberikan penghormatan dan pujian sepenuhnya kepada Tuhan, sebagaimana yang layak diterima-Nya.
ILHAM
Ayat-ayat pembuka Mazmur 78 menyebutnya sebagai mazmur hikmat. Pemazmur itu menjemput para pendengar untuk mendengarkan ajaran yang penuh hikmatnya dan digambarkan sebagai ”rahsia” (ayat 2). Walau bagaimanapun, ajaran ini telah didengar dan diketahui (ayat 3) kerana ini ilham daripada Tuhan dan nenek moyang menurunkan ilham itu kepada anak-anak mereka.Mazmur itu secara keseluruhannya menggesa para pendengarnya supaya menurunkan hikmat dengan setia, mengisahkan zaman dahulu Israel (ayat 5-7) sebagai “kata-kata hikmat” (ayat 2) yang dapat difahami oleh semua orang. Setiap generasi bertanggungjawab untuk memberitahu ilham, penebusan dan perbuatan Tuhan yang besar serta perkara-perkara tentang nenek moyang mereka yang gagal untuk mempercayai dan mengikut Tuhan dengan setia (ayat 8). Melalui lensa kisah lampau Israel, umat Tuhan boleh bertumbuh dalam hikmat dan kepercayaan serta “kemudian memberitahunya kepada anak-anak mereka” (ayat 6) supaya mereka juga “akan berharap kepada Allah" (ayat 7).