Nicholas yang lahir pada abad ke-3, tidak menjangka bahawa dia akan dikenali sebagai Santa Klaus berabad-abad setelah kematiannya. Dia hanya lelaki biasa yang mengasihi Tuhan dan sangat memprihatinkan orang. Dia terkenal dengan kemurahan hatinya yang rela memberikan harta miliknya serta melakukan perbuatan baik. Ini ditunjukkan melalui kisah tentang sebuah keluarga yang mengalami masalah kewangan yang besar. Nicholas datang ke rumah mereka pada waktu malam dan melemparkan beg berisi emas melalui tingkap yang terbuka. Beg itu jatuh ke dalam kasut atau sarung kaki yang bergantung berhampiran perapian.
Lama sebelum zaman Nicholas, rasul Paulus menggesa orang-orang percaya di Korintus agar menjadi pemberi yang bersukacita. Dia menulis tentang orang-orang percaya di Yerusalem yang sangat miskin, dan dia mendorong jemaah di Korintus memberi bantuan kewangan dengan rela dan sukacita. Paulus menjelaskan manfaat dan berkat yang akan didapat oleh orang-orang yang memberikan harta benda mereka. Dia mengingatkan mereka tentang “Orang yang menanam sedikit benih, akan mendapat tuaian yang sedikit. Tetapi orang yang menanam banyak benih, akan mendapat tuaian yang banyak juga” (2 Korintus 9:6). Hasilnya, “Allah akan menjadikan kamu berkecukupan” (ayat 11) dan Tuhan dimuliakan.
Ya Bapa, tolonglah kami menjadi pemberi dengan rela dan bersukacita bukan hanya sempena musim Krismas, tetapi sepanjang tahun. Terima kasih untuk “[pemberian-Mu] yang tidak terhingga”, iaitu Anak-Mu, Yesus (ayat 15).