Pada suatu hari Dan sedang menunggang motosikalnya. Tiba-tiba sebuah kereta membelok ke lorongnya dan melanggarnya ke arah lalu lintas yang sibuk. Ketika dia sedar 2 minggu kemudian di pusat trauma, keadaannya amat teruk. Dia mengalami kecederaan saraf tunjang yang menyebabkannya lumpuh. Dan berdoa untuk kesembuhan tetapi doanya tidak terjawab. Namun dia tetap mempercayai belas kasihan Tuhan yang mengajarnya bahawa “tujuan hidup kita adalah menyerupai Kristus. Sedihnya, hal ini tidak berlaku apabila hidup kita kelihatan indah. Ia … berlaku ketika hidup kita dilanda kesusahan dan apabila kita terpaksa bergantung kepada Tuhan melalui doa untuk mengharungi hari-hari kita.”
Rasul Paulus menjelaskan 2 manfaat sekiranya kita teguh dalam Tuhan: ketekunan dan sukacita dalam penderitaan (Roma 5:3-4). Kedua-dua manfaat ini bukan panggilan untuk menanggung penderitaan dengan ketabahan atau mencari kesenangan dalam kesakitan. Ia merupakan undangan agar kita memiliki keyakinan dalam Tuhan yang tidak tergoyah. Dengan adanya Kristus dalam penderitaan kita memupuk “ketekunan; Ketekunan menyebabkan kita diperkenankan oleh Allah. Oleh itu kita mempunyai harapan” (ayat 3-4). Semua ini datang daripada iman bahawa Bapa tidak akan meninggalkan kita tetapi Dia akan berjalan bersama dengan kita melalui ujian api dan menuju masa depan.
Tuhan menemui kita dalam penderitaan dan menolong kita bertumbuh dalam Dia. Penderitaan bukannya bermaksud Tuhan tidak berkenan pada kita, sebaliknya Dia menggunakan penderitaan kita untuk mengasah dan membina perwatakan kita sewaktu kita mengalami kasih-Nya yang dicurahkan ke dalam hati kita” (ayat 5).
ILHAM
Perdamaian memulihkan mereka yang telah dipulaukan. Paulus memakai perkataan berdamai lebih daripada mana-mana pengarang Perjanjian Baru yang lain, biasanya berulang berkali-kali dalam satu petikan; contohnya, dia memakainya tiga kali dalam Roma 5:10-11. Dia juga memakainya dalam Roma 11:15, 2 Korintus 5:18-19, dan 1 Korintus 7:11 (berkaitan dengan perdamaian manusia).Petikan hari ini menekankan manusia memerlukan kematian Yesus untuk berdamai dengan Tuhan. Tetapi itu bukan pengakhiran. Perdamaian kita melalui kematian Yesus akan memimpin kepada penyelamatan kita melalui nyawa-Nya. Paulus menulis, “Sekarang sebagai sahabat-sahabat Allah, kita pasti akan diselamatkan kerana Kristus hidup.” (Roma 5:10). Dia berkata kematian Yesus dan kebangkitan-Nya diperlukan untuk penyelamatan kita.