Ketika mendaki Glasier Root yang terletak di Alaska, Tim terjumpa sesuatu yang tidak pernah dilihatnya. Walaupun dia ialah pakar dalam pengkajian glasier, sebilangan besar lumut yang berbentuk bebola kecil sama sekali asing baginya. Setelah mengesan bebola yang berwarna hijau terang itu selama bertahun-tahun, Tim dan rakan-rakan mendapati bahawa lumut yang digelar “tikus glasier” itu berbeza kerana ia tidak tumbuh di atas pokok seperti lumut lain. Apa yang lebih mengejutkan adalah lumut-lumut itu bergerak secara serentak seperti satu kawanan binatang. Mulanya mereka mengesyaki bahawa lumut itu ditiup angin atau tergolek menuruni bukit, tetapi tekaan tersebut dinafikan hasil daripada penyelidikan mereka.

Mereka belum mengetahui dengan tepat bagaimana bebola lumut itu bergerak. Misteri sedemikian menyerlahkan kreativiti Tuhan. Dalam karya penciptaan-Nya, Tuhan menyuruh tanah “mengeluarkan segala jenis tumbuh-tumbuhan” (Kejadian 1:11). Karya-Nya termasuklah tikus glasier, walaupun kebanyakan kita tidak pernah melihatnya kecuali mengunjungi glasier dengan persekitaran yang sesuai untuk pertumbuhannya.

Tikus Glasier telah menarik perhatian para saintis dengan rupa bentuknya yang berwarna hijau dan berbulu gebu sejak penemuannya pada tahun 1950-an. Ketika Tuhan memerhatikan tumbuh-tumbuhan yang dicipta-Nya, Dia “berpuas hati melihat hal itu” (ayat 12). Kita dikelilingi oleh karya botani-Nya yang menunjukkan kuasa kreatif-Nya dan mengajak kita menyembah Dia. Kita boleh bersukacita ketika melihat setiap pokok dan tumbuhan yang dicipta-Nya—kerana semuanya baik!