Pada suatu hari Dan sedang menunggang motosikalnya. Tiba-tiba sebuah kereta membelok ke lorongnya dan melanggarnya ke arah lalu lintas yang sibuk. Ketika dia sedar 2 minggu kemudian di pusat trauma, keadaannya amat teruk. Dia mengalami kecederaan saraf tunjang yang menyebabkannya lumpuh. Dan berdoa untuk kesembuhan tetapi doanya tidak terjawab. Namun dia tetap mempercayai belas kasihan Tuhan yang mengajarnya bahawa “tujuan hidup kita adalah menyerupai Kristus. Sedihnya, hal ini tidak berlaku apabila hidup kita kelihatan indah. Ia … berlaku ketika hidup kita dilanda kesusahan dan apabila kita terpaksa bergantung kepada Tuhan melalui doa untuk mengharungi hari-hari kita.”

Rasul Paulus menjelaskan 2 manfaat sekiranya kita teguh dalam Tuhan: ketekunan dan sukacita dalam penderitaan (Roma 5:3-4). Kedua-dua manfaat ini bukan panggilan untuk menanggung penderitaan dengan ketabahan atau mencari kesenangan dalam kesakitan. Ia merupakan undangan agar kita memiliki keyakinan dalam Tuhan yang tidak tergoyah. Dengan adanya Kristus dalam penderitaan kita memupuk “ketekunan; Ketekunan menyebabkan kita diperkenankan oleh Allah. Oleh itu kita mempunyai harapan” (ayat 3-4). Semua ini datang daripada iman bahawa Bapa tidak akan meninggalkan kita tetapi Dia akan berjalan bersama dengan kita melalui ujian api dan menuju masa depan.

Tuhan menemui kita dalam penderitaan dan menolong kita bertumbuh dalam Dia. Penderitaan bukannya bermaksud Tuhan tidak berkenan pada kita, sebaliknya Dia menggunakan penderitaan kita untuk mengasah dan membina perwatakan kita sewaktu kita mengalami kasih-Nya yang dicurahkan ke dalam hati kita” (ayat 5).