Ayah rakan saya meninggal baru-baru ini. Ketika jatuh sakit, keadaannya cepat merosot dan dia meninggal dalam beberapa hari. Rakan saya dan ayahnya mempunyai hubungan yang rapat, tetapi masih banyak soalan yang belum diajukan, jawapan yang belum dijawab, dan banyak lagi perbualan yang belum diadakan. Banyak hal yang belum dikatakan, dan sekarang ayahnya sudah tiada. Rakan saya merupakan seorang kaunselor terlatih: Dia memahami liku-liku kesedihan seseorang dan cara untuk membantu mereka. Tetapi dia memberitahu saya, “Kadangkala, aku hanya berharap untuk mendengar suara ayahku dan mengenang semula kasihnya. Ia sangat penting bagiku.”

Satu peristiwa penting pada awal pelayanan Yesus di dunia ialah ketika Dia dibaptis oleh Yohanes. Walaupun Yohanes cuba menolak, Yesus menegaskan bahawa saat itu harus terjadi supaya umat manusia dapat mengenal Dia: “Untuk sekarang ini biarlah demikian, kerana dengan jalan ini kita akan melaksanakan segala yang dikehendaki oleh Allah” (Matius 3:15). Yohanes membaptis Yesus seperti yang disuruh-Nya. Kemudian terjadi sesuatu yang mengisytiharkan identiti Yesus kepada Yohanes Pembaptis dan orang ramai. Hal itu pasti sangat menyentuh hati Yesus. Suara Bapa memberi jaminan kepada anak-Nya: “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi” (ayat 17).

Itu adalah suara yang sama dalam hati kita, yang meyakinkan orang-orang percaya tentang kasih-Nya yang besar kepada kita (1 Yohanes 3:1).