Putaran hujung kaki (Pirouette) merupakan putaran anggun yang dilakukan oleh penari balet dan penari kontemporari. Semasa kecil, saya suka melakukan putaran hujung kaki di kelas tarian moden saya, berpusing-pusing sehingga kepala saya pening, kemudian jatuh ke lantai. Apabila semakin berusia, saya belajar satu teknik untuk membantu mengekalkan keseimbangan dan mengawal kedudukan tubuh dengan cara “spotting”, iaitu menentukan satu titik fokus mata setiap kali saya melakukan putaran penuh. Saya hanya memerlukan satu titik fokus mata untuk menguasai kemahiran putaran hujung kaki saya dan menyelesaikannya dengan anggun.

Kita semua menghadapi liku-liku hidup. Bagaimanapun, apabila kita tertumpu kepada masalah, masalah yang kita hadapi kelihatan di luar kawalan, ia menyebabkan kita pening dan kemudian jatuh. Alkitab mengingatkan bahawa jika kita menjaga minda kita dengan baik, atau fokus kepada Tuhan, Dia akan memelihara dan memberi kita “kedamaian dan kesejahteraan” (Yesaya 26:3). Kedamaian yang sempurna bermakna tidak kira berapa banyak liku-liku hidup yang kita lalui, kita boleh tetap tenang, yakin bahawa Tuhan akan bersama dengan kita melalui masalah dan cubaan. Dia “sentiasa melindungi kita” (ayat 4), itulah “titik” paling utama untuk mengarahkan pandangan kita kerana janji-janji-Nya tidak pernah berubah.

Semoga kita memandang kepada Dia ketika menjalani hidup setiap hari. Datang kepada-Nya dalam doa dan kenal akan janji-janji-Nya dalam Alkitab. Semoga kita bergantung kepada Tuhan yang sentiasa melindungi dan menolong kita “berputar” dengan anggun sepanjang hidup ini.