Tanpa kata-kata. Hanya muzik dan gerakan tubuh. Ketika sebuah Maraton Zumba diadakan selama 24 jam secara maya di tengah-tengah pandemik Covid-19, ribuan orang dari seluruh dunia bergerak bersama mengikuti arahan para pengajar dari India, China, Mexico, Amerika, Afrika Selatan, beberapa kawasan Eropah dan beberapa tempat lain. Individu yang berasal dari pelbagai negara ini dapat bergerak bersama tanpa halangan bahasa. Mengapa? Ini kerana arahan tarian Zumba yang dicipta pada pertengahan 1990-an oleh guru aerobik dari Columbia, menggunakan isyarat bukan lisan untuk berkomunikasi. Para pengajar melakukan pergerakan tubuh dan pelajar mengikuti pergerakan mereka. Mereka mengikuti tanpa kata-kata atau jeritan.

Kadangkala, perkataan boleh menjadi penghalang dan mewujudkan rintangan. Ia boleh menyebabkan kekeliruan seperti dialami oleh jemaah di Korintus yang dinyatakan dalam surat pertama Paulus kepada mereka. Kekeliruan ini disebabkan oleh perbezaan pandangan mengenai isu-isu kontroversial yang berkaitan dengan pengambilan makanan tertentu (1 Korintus 10:27-30). Tetapi tindakan kita dapat mengatasi halangan dan kekeliruan. Seperti yang dikatakan Paulus, kita harus menunjukkan kepada orang lain tentang cara mengikut Yesus melalui tindakan kita, dengan melihat “kepentingan orang lain” (10:32-33). Kita mengajak dunia untuk mempercayai-Nya apabila kita “mengikut teladan Kristus” (11:1).

Seperti yang pernah dikatakan seseorang, “Beritakanlah Injil sepanjang masa. Gunakan kata-kata apabila perlu.” Ketika kita mengikut tuntunan Yesus, semoga Dia membimbing tindakan kita agar dapat memberi isyarat kepada orang lain tentang kebenaran iman kita. Semoga segala kata dan tindakan yang kita lakukan “memuliakan Allah” (10:31).