Downton Abbey ialah sebuah drama televisyen British yang popular tentang keluarga Crawley. Ia merupakan cerita rekaan yang mengisahkan struktur sosial yang berubah pada awal 1900-an di England. Salah satu watak utamanya, Tom Branson, pada mulanya bekerja sebagai pemandu keluarga Crawley sebelum mengejutkan semua orang dengan mengahwini anak perempuan bongsu Crawley. Setelah beberapa waktu selepas dihalau oleh keluarga Crawley, pasangan itu kembali ke Downton Abbey, Tom pun menjadi anggota keluarga tersebut. Dia mendapat akses hak dan keistimewaan yang tidak diperolehnya ketika dia masih berstatus sebagai pekerja.
Kita pernah dianggap sebagai “orang asing ataupun pendatang” (Efesus 2:19) dan dikecualikan daripada hak menjadi anggota keluarga Tuhan. Tetapi disebabkan Yesus, semua orang percaya tanpa mengira latar belakang mereka, berdamai dengan Tuhan dan dipanggil “anggota keluarga Allah” (ayat 19).
Menjadi anggota keluarga Tuhan membawa hak dan keistimewaan yang luar biasa. Kita dapat dengan “berani datang ke hadirat Allah dengan penuh keyakinan” (3:12) dan menikmati akses tanpa had kepada Tuhan. Kita menjadi anggota keluarga yang lebih besar, iaitu komuniti beriman yang menyokong dan mendorong kita (2:19-22). Anggota keluarga Tuhan memiliki hak istimewa untuk saling membantu memahami kebesaran kasih Tuhan (3:18).
Ketakutan atau keraguan mudah membuat kita berasa seperti orang asing dan menghalang kita mengakses sepenuhnya keistimewaan untuk menjadi anggota keluarga Tuhan. Tetapi dengarkan dan sambutlah rahmat Tuhan yang penuh kasih sekali lagi (2:8-10), serta menikmati keajaiban menjadi milik-Nya.