E-mel itu pendek tetapi bernada mendesak. “Aku perlukan keselamatan. Aku ingin mengenal Yesus.” Permintaan yang luar biasa. Tidak seperti rakan dan keluarga yang enggan menerima Kristus, orang ini amat yakin dengan keputusannya. Tugas saya adalah membuang keraguan diri tentang penginjilan dan hanya berkongsi konsep utama, ayat Alkitab dan sumber-sumber yang dipercayai untuk memenuhi permintaan lelaki ini. Bermula dari sini dan dengan iman, Tuhan akan memimpin perjalanan rohaninya.
Filipus berkongsi Injil dengan cara yang mudah difahami ketika dia bertemu dengan pegawai tinggi Etiopia yang sedang membaca kitab Yesaya dengan lantang dalam perjalanannya pulang dari Yerusalem. “Adakah tuan memahami apa yang tuan baca?” Filipus bertanya (Kisah Rasul-Rasul 8:30). “Bagaimana saya boleh faham,” jawab lelaki itu, “jika tidak ada orang yang menerangkannya?” (ayat 31). Untuk kejelasan, “Lalu Filipus mula berkata-kata. Melalui ayat-ayat itu Filipus memberitahu dia Berita Baik tentang Yesus” (ayat 35).
Seperti yang ditunjukkan oleh Filipus, berkongsi Injil dengan cara yang mudah difahami kepada orang di sekeliling adalah cara yang berkesan. Sebenarnya, ketika kedua-duanya berada dalam perjalanan, pegawai tinggi itu berkata, “Lihatlah, di sini ada air” dan meminta untuk dibaptis (ayat 36). Filipus menurutinya, kemudian pegawai itu “meneruskan perjalanan dengan sukacita” (ayat 39). Saya bersukacita ketika penulis e-mel tersebut menjawab bahawa dia telah bertaubat daripada dosanya, menerima Kristus, beribadat di gereja, dan percaya bahawa dia telah dilahirkan semula. Sungguh satu permulaan yang indah! Sekarang, semoga Tuhan membawanya terus bertumbuh dalam iman!