Disebabkan oleh kerosakan akhlak dan pemborosan yang melanda kerajaannya, Raja Yeongjo dari Korea (1694–1776) memutuskan untuk membawa perubahan. Maka dia melarang seni tradisional sulaman benang emas kerana terlalu mewah. Namun ketika dia membuang segala amalan yang buruk, dia turut membuang amalan yang baik. Tidak lama kemudian, pengetahuan dan kemahiran seni tradisional yang melibatkan proses rumit itu pun hilang.

Pada tahun 2011, Profesor Sim Yeon-ok ingin memulihkan kembali tradisi yang telah lama hilang itu. Dia menduga bahawa tradisi ini dihasilkan dengan melekatkan daun emas pada kertas mulberi, kemudian dipotong dengan tangan menjadi benang halus. Dia dapat menciptakan proses itu dan seni kuno tersebut pun berjaya dipulihkan.

Dalam kitab Keluaran, kita belajar tentang cara luar biasa yang digunakan untuk membina khemah TUHAN—termasuk benang emas yang digunakan untuk membuat pakaian imam Harun. Tukang-tukang yang mahir “menempa kepingan emas dan menjadikannya jaluran-jaluran tipis untuk dijalin bersama kain linen halus dan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, yang dihias dengan sulaman” (Keluaran 39:3). Kini, mengapakah segala ketukangan yang indah itu hilang? Adakah pakaian-pakaian itu menjadi usang? Adakah pakaian-pakaian itu akhirnya dijarah dalam peperangan? Adakah semuanya menjadi sia-sia? Tidak sama sekali! Setiap aspek usaha tersebut dilakukan kerana semua ini arahan khusus Tuhan.

Tuhan juga telah memberi kita sesuatu tugas. Itu mungkin satu tindakan sederhana yang menunjukkan kebaikan kepada orang lain, ia dianggap sebagai satu persembahan kita kepada Tuhan ketika kita saling melayani. Kita tidak perlu mempedulikan apa yang akan terjadi ke atas segala usaha kita akhirnya (1 Korintus 15:58). Segala tugas yang dilaksanakan untuk Bapa kita menjadi seutas benang yang memanjang hingga kekekalan.