Ketika Abraham Lincoln menjadi presiden Amerika Syarikat, tugas utamanya adalah memimpin negara yang berpecah belah. Lincoln dipandang sebagai pemimpin yang bijaksana dan berakhlak tinggi, tetapi ada satu unsur lain yang membentuk keperibadiannya. Dia menyedari bahawa dia tidak cekap untuk menangani tugasnya. Apakah responsnya terhadap kekurangan itu? Lincoln berkata, “Aku berkali-kali terdorong untuk berlutut dan berdoa agar mendapatkan pertolongan Tuhan kerana aku begitu tidak berdaya. Kebijaksanaan aku sendiri dan semua kemampuanku nampaknya tidak cukup pada masa itu.”

Ketika kita menghadapi cabaran hidup yang sangat besar dan mempunyai hikmat, pengetahuan, atau kekuatan sendiri yang terhad, kita mendapati diri seperti Lincoln yang bergantung sepenuhnya kepada Yesus yang tidak terbatas dalam segala sesuatu. Petrus mengingatkan kita tentang hal ini ketika dia menulis, “Serahkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Allah, kerana Dia mengambil berat tentang kamu” (1 Petrus 5:7).

Kasih dan kuasa mutlak Tuhan kepada anak-anak-Nya, menjadikan Dia Peribadi yang kita dapat hampiri dengan kekurangan kita, itulah hakikat doa. Kita datang kepada Yesus dan mengakui di hadapan-Nya (dan diri sendiri) bahawa kita tidak cukup kuat tetapi Dialah sumber kekuatan kekal. Menurut Lincoln, dia berasa bahawa dia “hanya dapat datang kepada Tuhan untuk mendapatkan pertolongan.” Apabila kita mula memahami penjagaan Tuhan yang besar terhadap kita, itu adalah berita baik. Kita boleh datang kepada-Nya!