Selama beberapa bulan, saya berhadapan dengan isu politik dan komplot yang sengit di tempat kerja. Saya orang yang mudah menjadi bimbang, tetapi saya hairan diri dapat bertenang walaupun menghadapi hal ini. Saya tidak berasa cemas, sebaliknya saya dapat bertindak balas dengan fikiran dan hati yang tenang. Saya tahu kedamaian seperti ini hanya datang daripada Tuhan.
Walaupun ada masa dalam hidup saya semuanya berjalan lancar, saya merasakan keresahan yang mendalam dalam hati saya. Saya tahu ini kerana saya mempercayai kemampuan sendiri, dan bukannya percaya kepada Tuhan dan pimpinan-Nya. Apabila saya mengimbas kembali masa lalu, saya menyedari bahawa kedamaian sejati, iaitu kedamaian Tuhan tidak ditentukan oleh keadaan kita, tetapi oleh keyakinan kita kepada-Nya.
Kita mengalami kedamaian Tuhan ketika hati kita teguh (Yesaya 26:3). Dalam bahasa Ibrani, perkataan teguh hati bermaksud “bersandar.” Sewaktu kita bersandar kepada-Nya, kita akan mengalami kehadiran-Nya yang menenangkan. Kita dapat mempercayai Tuhan, mengingati bahawa Dia akan merendahkan orang yang sombong dan jahat serta meluruskan jalan orang-orang yang mengasihi-Nya (ayat 5-7).
Ketika saya mengalami kedamaian pada musim kesukaran, dan bukannya masa senang, saya mendapati bahawa kedamaian Tuhan bukanlah tiada konflik, melainkan rasa aman yang mendalam walaupun dalam kesusahan. Ini adalah kedamaian yang melampaui pemahaman manusia, menjaga hati dan fikiran kita di tengah-tengah keadaan yang paling sukar (Filipi 4:6−7).