Dalam budaya orang Amish yang tinggal di luar bandar, pembinaan bangsal merupakan satu acara sosial. Seorang petani dan keluarganya perlu mengambil beberapa bulan untuk membina sebuah bangsal, tetapi orang Amish bekerjasama demi mempercepatkan pembinaan tersebut. Kayu-kayu binaan dikumpulkan lebih awal dan peralatan disediakan. Pada hari yang ditetapkan, seluruh komuniti Amish akan berkumpul awal pagi, membahagikan tugas dan bersama-sama membina bangsal. Kadang-kadang dalam masa sehari sahaja ia dapat disiapkan. 

Ini adalah gambaran yang baik tentang visi Tuhan untuk jemaah-Nya dan peranan kita di dalamnya. Alkitab mengatakan, “Kamu semua tubuh Kristus, dan setiap orang sebahagian daripada tubuh itu” (1 Korintus 12:27). Tuhan telah melengkapkan setiap kita dan membahagikan tugas kepada kita masing-masing agar kita “bekerja dengan sepatutnya”, sebagai sebahagian tubuh yang “tersusun rapi” (Efesus 4:16). Dalam komuniti, kita didorong untuk “saling menolong memikul beban” (Galatia 6:2).

Meskipun demikian, kita sering melakukannya sendirian. Kita menjaga keperluan kita sendiri, ingin mengawal keadaan hidup kita. Atau kita gagal untuk menjangkau dan menolong memikul beban orang lain yang dalam kesusahan. Sebaliknya,Tuhan ingin sekali agar kita berhubung dengan yang lain. Dia tahu bahawa perkara indah berlaku apabila kita meminta pertolongan orang lain dan mendoakan keperluan orang lain.

Hanya dengan saling bergantung, kita dapat mengalami apa yang disediakan Tuhan untuk kita dan mencapai rancangan-Nya yang luar biasa dalam kehidupan kita―umpama menyiapkan bangsal dalam masa sehari.