Semasa menghadiri seminari, saya bekerja sepenuh masa. Tambahan sebagai pastor yang melayani bergilir-gilir dan menjalani latihan praktikal di gereja, saya menjadi sangat sibuk. Semasa ayah saya datang melawat, dia berkata, “Patah jiwalah kamu nanti.” Saya tidak menghiraukan amarannya dan berfikir bahawa ayah saya datang dari generasi lain dan dia tidak memahami tentang penetapan matlamat.

Saya tidak mengalami patah jiwa, tetapi saya mengalami “musim kering” yang sangat teruk sehingga saya menjadi murung. Sejak itu, saya belajar untuk mendengar nasihat dengan lebih berhati-hati, terutama daripada orang yang saya kasihi.

Hal ini mengingatkan saya tentang kisah Musa. Dia juga seorang yang rajin bekerja, melayani sebagai hakim bangsa Israel (Keluaran 18:13). Dia memilih untuk mendengarkan nasihat ayah mentuanya (ayat 17-18). Yitro tidak terlibat dalam urusan pelayanan Musa, tetapi dia mengasihi Musa dan keluarganya dan dia boleh melihat bahawa akan ada masalah menimpa Musa. Mungkin sebab itulah Musa mendengarkan nasihat Yitro dan menurutinya. Musa menetapkan satu sistem bagi “beberapa orang lelaki yang bijaksana” untuk menangani perselisihan yang kecil, manakala dia mengambil kes-kes yang lebih sukar (ayat 21-22). Oleh sebab dia mendengarkan nasihat Yitro, dia menyusun semula pekerjaan dan mengamanahkan orang lain untuk memikul tanggungjawab. Dengan ini dia mampu mengelakkan kelelahan dalam menjalankan tugas. 

Sebilangan besar kita memandang serius akan pelayanan kita kepada Tuhan, keluarga dan orang lain―malah dengan penuh semangat. Tetapi kita tetap perlu mempedulikan nasihat orang yang disayangi dan bergantung pada hikmat serta kuasa Tuhan dalam segala hal yang kita lakukan.