Adegan di sebuah tempat letak kereta yang kelihatan lucu sebenarnya sangat menyedihkan. Dua pemandu sedang bergaduh dan saling mengeluarkan kata-kata kasar dengan lantang mengenai salah satu kereta yang menghalang laluan. Apa yang membuat pertengkaran ini sangat menyakitkan hati adalah kejadian ini berlaku di tempat letak kereta sebuah gereja. Mereka mungkin baru mendengar khutbah tentang kasih, kesabaran atau pengampunan, tetapi semuanya dilupakan pada ketika itu. 

Semasa lalu di situ, saya menggelengkan kepala. Kemudian dengan cepat menyedari bahawa saya sendiri bukannya orang yang baik pun. Sudah berapa kali saya membaca Alkitab, tetapi jatuh ke dalam dosa hanya beberapa saat kemudian dengan pemikiran yang tidak baik? Sudah berapa kali saya bersikap seperti orang yang “melihat dirinya sendiri di depan cermin. Dia menatap dirinya baik-baik, lalu pergi dan langsung lupa akan rupanya” (Yakobus 1:23-24)?

Yakobus menyeru pembacanya jangan hanya membaca dan merenungkan perintah Tuhan, tetapi juga melakukannya (ayat 22). Dia menyatakan bahawa iman sejati bermakna kita harus mengetahui Alkitab dan melakukan apa yang terkandung di dalamnya.

Keadaan hidup boleh menyukarkan kita untuk menerapkan apa yang dikatakan Alkitab. Tetapi sekiranya kita memohon Bapa, Dia pasti akan menolong kita mentaati firman-Nya dan menyenangkan hati-Nya dengan perbuatan kita.