“Kumain ka na ba?” (Kamu sudah makan?)
Inilah pertanyaan yang anda akan selalu dengar sebagai pelawat di kebanyakan rumah di Filipina, tempat asal saya. Ia merupakan cara orang Filipina menunjukkan keprihatinan dan kebaikan kepada tetamu. Tanpa mempedulikan jawapan, tuan rumah tetap akan sentiasa menyediakan makanan untuk tetamu. Orang Filipina percaya bahawa kebaikan yang ikhlas bukan sekadar mengucapkan kata-kata sambutan, tetapi melakukan lebih daripada itu untuk menunjukkan hospitaliti sebenar.
Ribka juga tahu tentang menghulurkan kebaikan. Kerja hariannya termasuk mengambil air dari perigi yang terletak di luar kota dan memikul buyung air yang berat untuk kembali ke rumah. Ketika hamba Abraham yang lama dalam perjalanan sangat haus dan datang meminta air, Ribka tidak teragak-agak memberikan air kepadanya (Kejadian 24:17-18).
Tetapi kemudian Ribka melakukan lebih lagi. Apabila dia melihat unta-unta hamba Abraham kehausan, dia segera menimba lebih banyak air untuk unta-unta (ayat 19-20). Dia tidak teragak-agak untuk menolong, walaupun itu merupakan tugas dan perjalanan tambahan (atau lebih lagi) ke perigi dan kembali dengan buyung air yang berat.
Kehidupan adalah sukar bagi ramai orang, tetapi dengan menghulurkan tindakan kebaikan yang praktikal dan sederhana, ini boleh mendorong serta menaikkan semangat mereka. Menjadi saluran kasih Tuhan bukan bermaksud selalu menyampaikan khutbah yang berkuasa atau mendirikan gereja. Kadangkala kita hanya perlu memberi orang minum.