Mata yang suram dapat dilihat melalui lukisan Simon of Cyrene, karya seorang seniman Belanda, Egbert Modderman. Mata Simon dalam lukisan tersebut mendedahkan dia menanggung beban fizikal dan emosi yang sangat besar. Dalam Markus 15, kita mengetahui bahawa Simon ditarik daripada kerumunan orang ramai dan dipaksa untuk memikul salib Yesus.
Markus memberitahu kita bahawa Simon berasal dari Kirene, sebuah kota besar di Afrika Utara dengan jumlah penduduk Yahudi yang besar pada zaman Yesus. Kemungkinan besar Simon pergi ke Yerusalem untuk merayakan Paska. Di situ dia mendapati dirinya berada di tengah-tengah pelaksanaan hukuman yang tidak adil, namun dia dapat memberikan pertolongan kecil tetapi bermakna kepada Yesus (Markus 15:21).
Pada awal Injil Markus, Yesus mengatakan kepada pengikut-pengikut-Nya, “Jika seseorang hendak mengikut Aku, dia mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib, dan mengikut Aku” (8:34). Dalam perjalanan menuju Golgota, Simon benar-benar melakukan apa yang diminta oleh Yesus secara kiasan kepada pengikut-pengikut-Nya: dia mengambil salib yang diberikan kepadanya dan memikulnya demi Yesus.
Kita juga mempunyai “salib-salib” yang harus dipikul: mungkin penyakit, tugas pelayanan yang mencabar, kehilangan orang yang disayangi, atau penganiayaan kerana iman. Tatkala menempuhi penderitaan ini dengan iman, kita menunjukkan penderitaan Yesus dan pengorbanan-Nya di kayu salib kepada orang lain. Salib-Nya mendamaikan kita dengan Tuhan dan memberi kita kekuatan untuk menjalani kehidupan kita.