‘Kalaulah boleh putar semula masa,” kata seorang lelaki yang meratapi seorang rakan yang meninggal dunia pada usia muda. Kata-katanya menimbulkan kepiluan dalam lubuk hati manusia pada setiap zaman. Kematian itu menggerunkan dan menakutkan setiap orang. Hati kita sakit kerana tidak dapat memperbaiki apa yang telah berlalu.
Keinginan hati untuk “putar semula masa” mungkin menggambarkan perasaan pengikut-pengikut Yesus selepas kematian-Nya. Berita Baik tidak banyak menulis tentang masa-masa yang tragis itu, tetapi mencatatkan tindakan beberapa rakan yang setia.
Yusuf, seorang pemimpin agama yang secara diam-diam mempercayai Yesus (lihat Yohanes 19:38), tiba-tiba dengan berani meminta jenazah Yesus daripada Pilatus (Lukas 23:52). Renungkan sejenak apa yang diperlukan untuk mengeluarkan mayat daripada penyaliban yang mengerikan dan mempersiapkannya dengan baik untuk pengebumian (ayat 53). Pertimbangkan juga pengabdian dan keberanian beberapa wanita yang tetap mengikut Yesus pada setiap langkah, bahkan ke kubur Yesus (ayat 55).
Pengikut-pengikut Yesus ini tidak menjangkakan kebangkitan; mereka datang ke situ kerana bersedih. Fasal ini berakhir tanpa harapan melainkan hanya kesuraman, “Setelah itu mereka pulang, lalu menyediakan ramuan dan minyak wangi untuk jenazah Yesus [untuk melumuri jenazah Yesus]. Pada hari Sabat mereka berhenti bekerja untuk mentaati perintah Taurat” (ayat 56).
Mereka tidak mengetahui bahawa hari Sabat mewujudkan saat yang paling dramatis dalam sejarah. Yesus melakukan perkara yang tidak dapat dibayangkan. Dia “memutar semula” kematian.