Hari Bumi merupakan acara tahunan yang dirayakan pada 22 April. Beberapa tahun kebelakangan ini, lebih daripada 1 bilion orang dan sekitar 200 negara mengambil bahagian dalam aktiviti pendidikan dan perkhidmatan yang berkaitan. Setiap tahun, Hari Bumi menjadi peringatan tentang pentingnya untuk menjaga bumi kita yang menakjubkan ini. Tetapi mandat untuk menjaga alam sekitar jauh lebih lama daripada acara tahunan ini—semuanya bermula sejak penciptaan.
Dalam kitab Kejadian, kita mengetahui bahawa Tuhan menciptakan seluruh alam semesta dan menjadikan bumi sebagai tempat tinggal manusia. Dia bukan sahaja menjadikan puncak gunung dan tanah yang subur, Tuhan juga menciptakan taman Eden, iaitu sebuah tempat yang indah dan memberikan makanan, tempat tinggal dan keindahan bagi penghuninya (Kejadian 2:8-9).
Setelah menghembuskan nafas hidup ke dalam hidung ciptaan-Nya yang paling penting, iaitu manusia, Tuhan menempatkan mereka di taman ini (ayat 8, 22) dan memberi mereka tanggungjawab “untuk mengusahakan serta memelihara taman itu” (ayat 15). Selepas Adam dan Hawa diusir dari taman Eden, tugas penjagaan ciptaan Tuhan menjadi lebih sulit (3:17-19), tetapi hingga hari ini Tuhan sendiri menjaga planet kita dan makhluk-makhluk di dalamnya (Mazmur 65:10-14) dan meminta kita melakukan perkara yang sama (Amsal 12:10).
Sama ada kita tinggal di bandar yang sesak atau di luar bandar, setiap kita mempunyai cara tersendiri untuk menjaga persekitaran yang telah dipercayakan Tuhan kepada kita. Sementara kita mengusahakan bumi, semoga tindakan ini menjadi kesyukuran kita kepada-Nya untuk planet yang indah ini.