Seminggu selepas hari Paska, Wyatt, anak lelaki kami yang berusia 5 tahun telah mendengar banyak perbualan tentang kebangkitan. Dia selalu ada banyak soalan dan biasanya sukar untuk dijawab. Masa itu saya sedang memandu dan dia duduk di kerusi keselamatan di belakang saya. Wyatt merenung ke luar jendela, terhanyut dalam fikirannya. “Ayah,” katanya, lalu berhenti sejenak dan bersedia menanyakan soalan yang sukar kepada saya. “Apabila Yesus buat kita hidup semula, betulkah kita ni akan hidup, atau itu hanya dalam fikiran kita saja?”

Ini merupakan soalan yang diajukan oleh kebanyakan kita, sama ada kita mempunyai keberanian untuk mengucapkannya dengan lantang atau tidak. Adakah Tuhan benar-benar akan menyembuhkan kita? Adakah Dia benar-benar akan membangkitkan kita daripada kematian? Adakah Dia benar-benar akan menepati semua janji-Nya?

Rasul Yohanes menggambarkan masa hadapan kita yang pasti seperti “langit baru dan bumi baru” (Wahyu 21:1). Di kota suci itu, “Allah sendiri akan tinggal bersama-sama [kita] dan menjadi Allah [kita]” (ayat 3). Oleh sebab kemenangan Kristus atas kematian, kita dijanjikan masa hadapan yang tiada lagi air mata, tiada kejahatan yang berkonspirasi terhadap Tuhan dan umat-Nya. Pada masa hadapan yang baik ini, “Kematian akan tiada lagi, demikian juga kesedihan, tangisan, dan kesakitan. Perkara -perkara lama sudah lenyap” (ayat 4).

Dengan kata lain, pada masa hadapan Tuhan berjanji bahawa kita akan benar-benar hidup. Kita akan hidup sehingga kehidupan kita pada masa kini akan kelihatan seperti bayangan semata.