Sahabat saya menceritakan bagaimana dia dengan sengaja ditanya oleh rakan seiman yang juga rakan sekerjanya tentang parti politik yang disokong sahabat saya. Tujuan si rakan yang bertanya itu seolah-olah ingin meramal sama ada dia bersetuju dengan pendapat sahabat saya berkaitan dengan beberapa masalah yang sedang memecahbelahkan komuniti mereka. Dalam usaha untuk menemukan titik persamaan antara mereka, sahabat saya hanya menjawab, “Memandangkan kita ialah pengikut Kristus, saya lebih suka fokus kepada kesatuan kita dalam Kristus.”
Perpecahan juga berlaku pada zaman Paulus, walaupun ini disebabkan oleh beberapa masalah yang berbeza. Topik-topik seperti jenis makanan yang dibenarkan dan apa itu hari yang dianggap suci telah mengakibatkan perselisihan dalam kalangan orang Kristian di Rom. Walaupun “setiap orang yakin akan pendiriannya” (ayat 5) tentang pihak yang dipilih mereka, Paulus mengingatkan mereka tentang titik persamaan mereka: hidup untuk Yesus (Roma 14:5-9). , Paulus mendorong mereka “melakukan hal-hal yang membawa kerukunan, dan yang saling menguatkan iman”, bukannya saling menghakimi (ayat 19).
Dalam era ketika banyak negara, gereja dan masyarakat berpecah belah kerana isu besar dan kecil, kita boleh memimpin satu sama lain kepada kebenaran yang menyatukan, iaitu karya penebusan Kristus di kayu salib untuk menjamin kehidupan kita bersama Dia selama-lamanya. Peringatan Paulus bahawa kita tidak boleh “rosakkan apa yang sudah dilakukan Allah” (ayat 20) dengan pandangan kita sendiri adalah relevan pada masa sekarang seperti 2,000 tahun yang lalu. Kita boleh bertindak dalam kasih dan hidup dengan cara yang menghormati saudara dan saudari seiman kita, bukannya saling menghakimi.