Usia muda tidak harus menjadi penghalang untuk mencapai sesuatu. Ini pasti bukan halangan bagi Mikaila yang berusia 11 tahun. Mikaila tidak bermula dengan gerai menjual jus lemon, sebaliknya dia terus memulakan perniagaan jus lemon, Me & the Bees Lemonade. Dia menubuhkan perniagaan ini dengan resipi neneknya dan akhirnya memperoleh modal pelaburan sebanyak $60,000 AS dolar daripada beberapa pelabur dalam rancangan televisyen Shark Tank. Dia juga menandatangani kontrak dengan sebuah pasar raya untuk menjual jus lemonnya kepada 55 buah cawangan pasar raya tersebut.

Dorongan dan impian Mikaila mengarahkan kita kembali kepada kata-kata Paulus kepada Timotius: “Jangan biarkan sesiapa pun menghina engkau kerana engkau muda” (1 Timotius 4:12).

Walaupun Timotius bukan anak kecil seperti Mikaila, dia jauh lebih muda berbanding dengan kebanyakan orang percaya yang lain. Walaupun dia dilatih dan melayani bersama dengan rasul Paulus, ada orang berpendapat bahawa Timotius belum cukup matang untuk memimpin mereka. Paulus tidak menyuruh Timotius membuktikan kelayakannya, sebaliknya dia mendorong Timotius menunjukkan kematangan rohani melalui percakapan, gaya kehidupan, kasihnya terhadap jemaah, serta menunjukkan imannya kepada Kristus dan mengekalkan kesucian dari segi hubungan seksual (ayat 12). Tiada sesiapa dapat meragui kelayakannya sebagai guru dan pastor sekiranya dia menjadi teladan yang salih.

Tidak kira berapa usia kita, kita boleh membawa pengaruh kepada dunia ini. Kita melakukannya dengan memberi teladan yang berpusat pada Kristus untuk orang lain kerana Tuhan menyediakan apa yang kita perlukan. Semoga Dia membentuk kehidupan kita dengan Berita Baik, supaya sama ada kita berumur 17 ataupun 70 tahun, kita mampu berkongsi tentang Dia kepada orang lain.