Nenek saudara saya yang sudah tua berbaring sakit di atas katilnya dengan senyuman di wajahnya. Rambutnya yang beruban ditolak ke belakang dan kelihatan mukanya yang berkedut-kedut. Dia tidak banyak bercakap, tetapi saya masih teringat akan beberapa patah perkataan yang diucapkannya ketika saya, ayah dan ibu menziarahinya. Dia berbisik, “Saya tidak keseorangan. Yesus bersama-sama saya di sini.”

Sebagai wanita bujang pada ketika itu, saya kagum dengan apa yang dikatakannya. Suaminya telah meninggal dunia beberapa tahun sebelumnya, dan anak-anaknya tinggal berjauhan. Mendekati umur 90 tahun, dia tinggal seorang diri dan tidak bermaya di atas katilnya. Namun, dia masih dapat berkata bahawa dia tidak keseorangan.

Nenek saudara saya percaya dengan sebulat hati tentang kata-kata Yesus kepada para pengikut-Nya, dan setiap kita pun sepatutnya begitu: “Aku akan sentiasa menyertai kamu” (Matius 28:20). Dia tahu bahawa Roh Kristus menyertainya, seperti yang dijanjikan-Nya ketika Dia menyuruh para pengikut-Nya pergi ke seluruh dunia dan berkongsi Berita Baik-Nya kepada orang lain (ayat 19). Yesus berkata bahawa Roh Kudus akan “bersama-sama” para pengikut-Nya dan kita (Yohanes 14:16–17).

Saya pasti nenek saudara saya mengalami kebenaran dalam janji itu. Roh Kudus bersama-samanya ketika dia terlantar di atas katil, malah menggunakan dia untuk berkongsi kebenaran-Nya dengan saya, seorang anak buah setahun jagung yang perlu mendengar kata-kata tersebut dan mempercayai dengan sepenuh hati.