“Shabatku, kadangkala engkau berlagak lebih suci daripada siapa engkau sebenarnya.”
Kata-kata itu disampaikan secara terus terang dengan renungan tajam dan senyuman lembut. Jika kata-kata tersebut bukannya datang daripada seseorang rakan karib dan mentor yang amat saya hargai kearifannya, saya mungkin sudah berasa tersinggung. Sebaliknya, saya menggerenyet dan tertawa sekali gus kerana saya tahu bahawa sungguhpun kata-kata tersebut menggores hati, tetapi memang benar. Kadangkala ketika saya bercerita tentang iman, saya menggunakan jargon yang kedengaran berlebih-lebihan sehingga memberikan tanggapan bahawa saya tidak ikhlas. Sahabat saya menyayangi saya dan cuba membantu saya menjadi lebih efektif ketika berkongsi dengan orang lain mengenai apa yang benar-benar saya percayai. Apabila mengimbas kembali, saya melihat inilah beberapa nasihat terbaik yang pernah saya terima.
“Seorang kawan memukul dengan maksud baik,” tulis Salomo secara bijak, “tetapi berwaspadalah apabila seorang musuh mencium kamu” (Amsal 27:6). Wawasan sahabat saya menunjukkan kebenaran nasihat tersebut. Saya bersyukur kerana dia cukup prihatin untuk memberitahu saya sesuatu yang perlu saya dengar, meskipun dia tahu bahawa nasihat itu mungkin tidak mudah diterima. Kadangkala apabila seseorang hanya memberitahu anda sesuatu yang mereka fikir anda perlu dengar, cara ini tidak akan membantu kerana boleh menghalang anda mengalami pertumbuhan dan perkembangan hidup yang penting.
Sikap berterus terang boleh menjadi kebaikan, jika disampaikan dengan kasih sejati dan rendah hati. Semoga Tuhan memberi kita kebijaksanaan untuk menerima nasihat dan memberikannya kepada orang lain, yang mencerminkan hati-Nya yang amat penyayang.