Sebuah kajian tentang orang dewasa pada tahun 2018 di United Kingdom mendapati bahawa secara purata, “mereka menyemak telefon pintar setiap dua belas minit semasa berjaga”. Tetapi biarlah kita jujur, statistik ini nampaknya benar-benar konservatif apabila saya memikirkan berapa kerap saya mencari Google untuk mendapatkan jawapan bagi sesuatu soalan, ataupun memberikan respons kepada notifikasi yang tidak putus-putus masuk ke dalam telefon saya sepanjang hari. Ramai antara kita sentiasa melihat peranti dan yakin bahawa peranti tersebut akan sentiasa menyediakan apa yang kita perlukan agar hidup kita senantiasa terurus, bermaklumat dan berhubung dengan dunia.

Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, kita memiliki satu sumber yang jauh lebih baik daripada telefon pintar. Tuhan amat mengasihi dan mengambil berat tentang kita. Dia ingin kita menghadap-Nya bersama-sama keperluan kita. Menurut Alkitab, apabila kita berdoa, kita boleh memiliki keyakinan “bahawa Dia mengabulkan doa kita, jika kita memohon apa sahaja yang sesuai dengan kehendak-Nya” (1 Yohanes 5:14). Dengan membaca Alkitab dan menyimpan firman Tuhan di dalam hati, kita boleh berdoa dengan penuh kepastian bagi sesuatu yang kita tahu diinginkan-Nya bagi kita, termasuklah kedamaian, kebijaksanaan, dan iman bahawa Dia akan menyediakan apa yang kita perlukan (ayat 15).

Kadangkala mungkin nampaknya Tuhan tidak mendengarkan kita ketika situasi kita tidak berubah. Tetapi kita membina keyakinan dalam Tuhan dengan sentiasa berseru kepada-Nya untuk memohon pertolongan dalam setiap keadaan (Mazmur 116:2). Hal ini membolehkan kita bertumbuh dalam iman, percaya bahawa walaupun kita tidak menerima semua yang kita inginkan, Dia berjanji untuk menyediakan apa yang kita perlukan menurut masa-Nya yang sempurna.