“Tiada tempat sebaik rumah sendiri. Tiada tempat sebaik rumah sendiri”. Kata-kata yang tidak dapat dilupakan ini diucapkan oleh Dorothy dalam The Wizard of Oz (Ahli Sihir Oz) yang menunjukkan kaedah penceritaan yang ditemukan dalam banyak kisah popular yang tetap hidup seperti Star Wars sehinggalah The Lion King. Kisah ini dikenali sebagai “pengembaraan wira”. Secara ringkasnya: orang biasa yang menjalani hidup biasa berpeluang mengikuti pengembaraan yang luar biasa. Dorothy meninggalkan rumah dan mengembara ke dunia lain. Selain menempuh beberapa cubaan dan ujian, dia juga bertembung dengan beberapa mentor dan watak-watak jahat. Jika wira atau wirawati berjaya mengharungi cubaan itu dan keperwiraannya terbukti, maka pada akhir cerita itu adalah dia akan pulang ke rumah untuk berkongsi kisah-kisahnya dan kebijaksanaan yang diperolehinya. Bahagian kesudahan adalah penting.
Cerita tentang lelaki yang dirasuk roh jahat amat serupa dengan pengembaraan wira itu. Amat menarik kerana dalam babak terakhir, lelaki itu merayu kepada Yesus supaya membenarkan dia “mengikut guru” (Markus 5:18). Bagaimanapun, Yesus memberitahunya: “Pulanglah kepada keluargamu, kepada orang sekampungmu” (ayat 19, AVB). Betapa pentingnya dalam pengembaraan lelaki ini, dia kembali kepada orang yang paling mengenalinya demi memberitahu mereka tentang kisahnya yang menakjubkan.
Tuhan memanggil setiap orang dengan cara yang berbeza dan menempatkan kita pada keadaan yang berbeza. Akan tetapi, mungkin mustahak bagi sesetengah kita dalam perjalanan iman kita untuk pulang ke rumah dan berkongsi kisah kita kepada mereka yang paling mengenali kita. Bagi sesetengah kita, panggilannya berbunyi “tiada tempat sebaik rumah sendiri.”