Charla hampir nazak, dan dia mengetahuinya. Ketika dia berbaring di atas katil hospital, doktor bedahnya dan sekumpulan doktor pelatih yang muda bergegas masuk ke bilik itu. Untuk beberapa minit seterusnya, doktor itu tidak menghiraukan Charla ketika dia menerangkan penyakitnya yang tidak terubat kepada para pelatih tersebut. Akhirnya, doktor itu berpaling kepadanya dan bertanya, “Apa khabar, Puan?” Charla tersenyum lemah dan dengan lembut memberitahu mereka tentang harapan dan kesejahteraannya yang terasa dalam Yesus.
Lebih kurang 2,000 tahun yang lalu, tubuh Yesus yang luka parah bertelanjang digantung dengan hinanya pada kayu salib di hadapan sekumpulan penonton. Adakah Dia mengamuk terhadap para penyiksa-Nya? Tidak. “Yesus berkata, ‘Ya Bapa, ampunilah mereka! Mereka tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh mereka’ ” (Lukas 23:34). Meskipun Yesus disalibkan atas tuduhan palsu, Dia berdoa untuk para musuh-Nya. Kemudian Dia memberitahu seorang lagi yang turut disalibkan, iaitu seorang penjenayah, bahawa disebabkan iman orang itu, tidak lama lagi dia akan bersama-sama-Nya “di Firdaus” (ayat 43). Dalam kesakitan dan penghinaan, Yesus memilih untuk berkongsi kata-kata yang mengandungi harapan dan hidup kerana kasih-Nya kepada orang lain.
Ketika Charla mengakhiri perkongsiannya tentang Kristus kepada pendengarnya, dia mengajukan semula soalan kepada doktor itu. Dengan lembut, dia memandang tepat ke mata doktor itu yang bergenang air mata dan bertanya, “Apa khabar, Doktor?” Dengan rahmat dan kuasa Kristus, dia berkongsi kata-kata hidup yang memperlihatkan kasih dan keprihatinan kepada doktor itu dan orang lain di bilik tersebut. Dalam apa jua keadaan mencabar yang kita hadapi hari ini atau kelak, marilah percaya bahawa Tuhan akan memberi kita keberanian untuk berkongsi kata-kata hidup-Nya dengan penuh kasih.