Kelly menghidapi kanser otak ketika berlakunya krisis COVID-19. Kemudian cecair telah terbentuk di sekeliling jantung dan paru-parunya, dan dia perlu dimasukkan ke hospital semula. Keluarganya tidak dapat datang melawat akibat pandemik. Suaminya, Dave bertekad untuk melakukan sesuatu untuk Kelly.
Mula-mula Dave mengumpulkan orang-orang tersayang dan meminta mereka membuat tanda-tanda besar dengan menulis mesej di atasnya. Dengan memakai pelitup muka, seramai 20 orang berdiri di luar jalan di hospital tersebut, memegang kad yang bertulis “IBU YANG TERBAIK!” “MENYAYANGIMU.“ “KAMI BERSAMA DENGANMU.” Dengan bantuan daripada seorang jururawat, Kelly berdiri di tepi tingkap di tingkat empat. “Kami hanya dapat melihat pelitup muka dan tangan yang melambai-lambai,” kata suaminya yang memuatkan video tersebut di media sosial, “tetapi itu adalah suatu pemandangan pelitup muka dan lambaian tangan yang indah.”
Pada pengakhir hidupnya, rasul Paulus berasa keseorangan kerana merana di penjara di Roma. Dia menulis kepada Timotius, “Berusahalah dengan sebaik-baiknya untuk datang sebelum musim sejuk” (2 Timotius 4:21). Namun Paulus bukannya betul-betul keseorangan. “Tetapi Tuhan menyertai aku. Dia memberi aku kekuatan” (ayat 17). Jelas sekali Paulus mendapat dorongan daripada hubungannya dengan saudara-saudara seiman yang lain. Dia berkata kepada Timotius, “Ebulus, Pudes, Linus, dan Klaudia mengirim salam kepadamu; demikian juga semua saudara seiman yang lain” (ayat 21).
Kita dicipta untuk berkomuniti, dan keperluan ini menjadi lebih ketara apabila kita menghadapi krisis. Apakah yang akan anda lakukan untuk seseorang yang mungkin berasa kesunyian pada hari ini?