Di sebuah kota kecil Illinois, keganasan domestik merangkumi 40 peratus dalam keseluruhan jenayah di komuniti tersebut. Menurut seorang pastor tempatan, isu ini sentiasa tersembunyi dalam kalangan orang Kristian kerana hal ini tidak menyenangkan untuk dibincangkan. Pastor-pastor tempatan tidak menyembunyikan masalah itu, sebaliknya mereka memilih untuk mempraktikkan iman dan berani mengajukan isu tersebut dengan menghadiri kelas demi mengenal pasti tanda-tanda keganasan dan menyokong organisasi sukarelawan untuk menangani isu-isu tersebut. Dengan mengakui kuasa iman dan tindakan, seorang pastor tempatan berkata, “Doa dan belas kasihan kami, diikuti dengan sokongan, boleh membuat perbezaan yang ketara.”
Apabila Ester, iaitu Permaisuri Persia, teragak-agak untuk bersuara menentang satu undang-undang yang membenarkan pembunuhan seluruh bangsanya, dia diberikan amaran oleh bapa saudaranya jika dia masih berdiam diri, dia dan keluarganya tidak akan terlepas dan akan mati (Ester 4:13-14). Setelah menyedari inilah saatnya untuk memberanikan diri dan bersuara, Mordekhai berkata, “Siapa tahu, mungkin justeru untuk saat-saat seperti inilah kamu sudah dipilih menjadi permaisuri!” (ayat 14). Sama ada kita dipanggil untuk bersuara menentang ketidakadilan atau memaafkan seseorang yang menyebabkan penderitaan kita, Alkitab menjanjikan kepada kita bahawa dalam menghadapi cabaran, Tuhan tidak akan membiarkan atau meninggalkan kita (Ibrani 13:5-6). Apabila kita meminta pertolongan Tuhan pada masa kita rasa tertekan, Dia akan melengkapkan kita dengan “kuasa, kasih, dan kekuatan untuk mengawal diri” supaya tugas hidup kita boleh diselesaikan sehingga ke penghujung (2 Timotius 1:7).