Lacey Scott mengunjungi sebuah kedai peliharaan haiwan tempatan apabila seekor ikan yang kelihatan sedih di dasar akuarium telah menarik perhatiannya. Sisik ikan itu telah bertukar warna hitam dan terdapat luka di badan. Lacey menyelamatkan ikan emas yang berumur 10 tahun itu, dan menamakan ikan itu “Monstro” sempena nama seekor ikan paus dalam cerita dongeng Pinocchio, lalu menempatkan Monstro di dalam tangki “hospital”, menukar airnya setiap hari. Lama-kelamaan, keadaan Monstro bertambah baik, mula berenang dan bertambah besar. Sisik hitamnya bertukar menjadi warna emas. Melalui penjagaan Lacey yang komited, Monstro telah berubah sama sekali!
Dalam Lukas 10, Yesus menceritakan tentang seorang lelaki yang dipukul, dirompak, dan dibiarkan mati. Seorang imam dan seorang Lewi lalu di situ, membiarkan lelaki itu dalam kesengsaraan. Tetapi seorang Samaria―salah seorang daripada golongan yang dihina―menjaganya, malah membayar keperluannya (Lukas 10:33–35). Dengan menyebutkan orang Samaria sebagai “sesama manusia” yang benar dalam cerita tersebut, Yesus menggalakkan para pendengar-Nya melakukan hal yang sama.
Apa yang dilakukan Lacey untuk Monstro yang hampir mati, kita juga boleh melakukannya untuk orang yang ada keperluan di sekeliling kita. “Sesama manusia” yang tiada tempat tinggal, tiada pekerjaan, kurang upaya dan keseorangan berada di sekeliling kita. Marilah kita membenarkan kesedihan mereka menarik perhatian kita dan tergerak untuk memberi respons dengan prihatin. Misalnya sapaan yang mesra, berkongsi makanan, dan memberi bantuan kewangan. Bagaimanakah Tuhan boleh memakai kita untuk menyalurkan kasih-Nya kepada orang lain, kasih yang dapat membawa perubahan baru bagi segalanya?