Selepas Gabriel yang berumur 8 tahun menjalani pembedahan untuk mengeluarkan tumor di otaknya, satu bekas yang ketara kelihatan di tepi kepalanya. Apabila budak itu berkata bahawa bekas pembedahan tersebut membuat dia berasa seperti seekor raksasa, bapanya, Josh, mempunyai satu idea untuk menunjukkan betapa dia menyayangi anak lelakinya: dia mencacah tatu yang sama bentuk dengan bekas pembedahan Gabriel.
Menurut seorang pemazmur, inilah empati dan kasih Tuhan yang berbelas kasihan kepada “anak-anaknya” (Mazmur 103:13). Daud menggambarkan kasih Tuhan dengan menggunakan metafora yang diambil melalui hidup manusia. Dia menyatakan kasih ini lembut seperti kasih seorang bapa yang baik kepada anak-anaknya (ayat 17). Seperti seorang bapa yang menunjukkan kasihnya kepada anak-anaknya, begitu juga Tuhan, Bapa kita yang di syurga, menunjukkan kasih dan sayang terhadap orang yang menghormati-Nya. Dia seorang Bapa yang berbelas kasihan, bersimpati terhadap umat-Nya.
Apabila kita lemah dan berasa kita tidak disayangi disebabkan bekas luka dalam hidup kita, terimalah dengan iman, kasih Bapa kita yang di syurga terhadap kita. Dia menunjukkan kasih-Nya dengan mengutus Anak-Nya untuk “menyerahkan hidup-Nya untuk kita” (1 Yohanes 3:16)—demi keselamatan kita. Dengan satu korban ini, bukan sahaja kita boleh mengalami kasih Tuhan untuk kita, tetapi kita boleh melihatnya pada kayu salib. Tidakkah anda bersukacita bahawa kita mempunyai Imam Agung yang boleh “bersimpati terhadap segala kelemahan kita” (Ibrani 4:15)? Bekas-bekas luka-Nya menjadi saksi-Nya.