Thomas Edison yang berumur 7 tahun tidak suka belajar dan tidak mendapat keputusan baik di sekolah. Bahkan dia dipanggil “orang pelik” oleh seorang guru pada suatu hari. Dia marah meluru balik ke rumah. Selepas bercakap dengan guru tersebut pada keesokan harinya, ibunya, yang juga seorang guru terlatih, memutuskan untuk mengajar Thomas di rumah. Disebabkan kasih dan dorongan ibunya (dan sifat genius kurniaan Tuhan), Thomas kemudiannya menjadi seorang pereka cipta yang hebat. Dia menulis pada masa kemudian, “Ibu yang membentuk saya. Dia seorang yang begitu ikhlas, begitu yakin terhadap saya, dan saya berasa saya mempunyai matlamat hidup, seseorang yang tidak patut saya hampakan.

Dalam Kisah Rasul-Rasul 15, kita membaca bahawa Barnabas dan rasul Paulus melayani bersama sebagai mubaligh sehingga mereka mempunyai perselisihan besar mengenai sama ada mahu membawa bersama Yohanes Markus. Paulus menentang cadangan itu kerana Markus sebelumnya telah “meninggalkan mereka di Pamfilia” (ayat 36-38). Akibatnya, Paulus dan Barnabas berpisah. Paulus memilih Silas dan Barnabas memilih Markus. Barnabas sanggup memberi peluang kedua kepada Markus, dan galakannya menyumbang kepada keupayaan Markus untuk melayani dan berjaya sebagai seorang mubaligh. Kemudiannya dia menulis Injil Markus dan menjadi pendorong kepada Paulus semasa dia dipenjarakan (2 Timotius 4:11).

Ramai kita boleh mengimbas kembali dan menyebut seseorang dalam hidup kita yang telah menggalakkan dan membantu kita dalam perjalanan hidup. Tuhan mungkin memanggil anda untuk melakukan perkara yang sama terhadap orang lain dalam hidup anda. Siapakah yang mungkin akan anda galakkan?