Sewaktu saya masih remaja, saya pernah memandu kereta dengan terlalu laju dalam keadaan tergesa-gesa untuk mengikut kawan saya pulang ke rumahnya selepas latihan bola keranjang di sekolah menengah. Pada hari itu, hujan turun dengan lebat dan menyukarkan saya mengikuti keretanya dari belakang. Tiba-tiba, ketika pengelap cermin kereta saya membersihkan cermin hadapan yang dicurahi air, saya terkejut apabila mendapati bahawa kereta Sedan kawan saya itu sudah pun berhenti di hadapan saya! Lalu saya terus memijak brek dengan tiba-tiba. Kereta saya terus tergelincir keluar dari jalan raya dan merempuh sebatang pokok besar. Akibatnya kereta saya termusnah dan saya dimasukkan ke wad koma di sebuah hospital tempatan. Walaupun saya terselamat disebabkan oleh rahmat Tuhan, tindakan saya yang melulu itu terbukti mengakibatkan kerugian yang sangat besar.

Musa pernah membuat keputusan melulu yang sangat merugikannya. Pilihannya yang salah itu melibatkan kekurangan air—bukannya terlalu banyak air (seperti dalam kes saya). Pada waktu itu, orang Israel kekurangan air di tengah-tengah padang pasir Zin, dan “berhimpunlah mereka menentang Musa” (Bilangan 20:2, AVB). Tuhan memberitahu pemimpin yang penat lelah itu bercakap dengan seketul batu besar dan “batu itu akan memancarkan air” (ayat 8). Tetapi Musa “memukulkannya dua kali pada bukit batu itu” (ayat 11). Tuhan berkata, “Kerana kamu kurang percaya kepada-Ku … kamu tidak akan memimpin umat itu ke tanah yang Aku janjikan kepada mereka” (ayat 12).

Apabila kita membuat keputusan yang melulu, kita perlu menanggung padahnya. “Keghairahan tanpa pengetahuan tidak baik; orang yang tergesa-gesa akan membuat kesalahan” (Amsal 19:2). Semoga kita bersikap waspada serta berdoa bersungguh-sungguh untuk memohon hikmat dan bimbingan Tuhan dalam membuat pilihan dan keputusan kita pada hari ini.