Peluang untuk Bersinar
Pada bulan Mac 2020, semasa berjalan dengan anjingnya di Taman Pusat Bandaraya New York, Whitney, seorang pakar kewangan yang bersara telah melihat beberapa buah trak, timbunan kain tebal terpal dan khemah berwarna putih, masing-masing mempunyai tanda salib dan nama badan amal yang tidak pernah didengarnya sebelum ini. Ketika dia mengetahui bahawa kumpulan itu sedang membina hospital lapangan untuk penduduk tempatan di New York yang dijangkiti COVID-19 , dia bertanya sama ada dia boleh membantu. Selama berminggu-minggu, walaupun berbeza agama dan pandangan politik, dia dan keluarganya berusaha untuk membantu semampu yang mungkin. Whitney berkata, “Setiap orang yang saya temui bersikap sangat baik.” Dia memuji bahawa tiada sesiapa yang membayar mereka kerana mereka faham dia sedang “membantu bandarnya pada waktu yang amat terdesak dan memerlukan.”
Berharap kepada Tuhan
Musim cuti semakin hampir, penghantaran pakej telah lewat kerana peningkatan pesanan atas talian yang belum pernah berlaku sebelum ini. Saya masih ingat suatu masa dahulu ketika keluarga saya lebih suka pergi ke kedai untuk membeli barang kerana kami tahu bahawa kami tidak mempunyai kawalan ke atas kelajuan penghantaran mel. Namun apabila ibu saya mendaftar untuk akaun yang menjamin penghantaran yang laju, jangkaan kami berubah. Kini dengan jaminan penghantaran dalam masa 2 hari, kami terbiasa menerima barang dengan cepat dan berasa amat kecewa apabila berlaku penangguhan. Kita hidup di dunia yang terbiasa dengan keadaan yang serba cepat sehingga kita menjadi kurang sabar untuk menunggu. Tetapi dalam alam rohani, kesabaran tetap mendapat ganjaran. Ketika kitab Ratapan ditulis, orang Israel sedang berkabung atas kemusnahan Yerusalem oleh tentera Babilonia, dan mereka menghadapi beberapa siri cabaran. Namun di tengah-tengah kekacauan itu, penulis dengan berani menegaskan kerana dia yakin bahawa Tuhan akan memenuhi keperluannya, oleh itu dia berharap kepada-Nya (Ratapan 3:24). Tuhan tahu kita cenderung menjadi cemas apabila jawapan doa-doa kita tertangguh. Firman Tuhan mengingatkan kita untuk menantikan Tuhan. Kita tidak perlu berasa tertekan atau bimbang kerana “Kasih TUHAN abadi dan rahmat-Nya tidak berkesudahan” (ayat 22). Sebaliknya, dengan pertolongan Tuhan kita boleh “tenang, tunggulah dengan sabar sampai Dia bertindak” (Mazmur 37:7). Semoga kita menantikan Tuhan, mempercayai kasih dan kesetiaan-Nya walaupun kita bergelut dengan keinginan dan doa-doa yang belum dikabulkan.
Apabila Kelemahan Menjadi Kekuatan
Drew dipenjarakan selama 2 tahun kerana dia melayani Yesus. Dia membaca tentang kisah para mubaligh yang mengalami sukacita yang berterusan sepanjang pemenjaraan mereka, tetapi dia mengaku bahawa itu bukan pengalamannya. Dia memberitahu isterinya bahawa Tuhan telah memilih orang yang salah untuk menderita bagi-Nya. Isterinya menjawab, “Tidak. Aku fikir mungkin Dia telah memilih orang yang tepat. Ini bukan kebetulan.” Drew mungkin dapat dikaitkan dengan nabi Yeremia, yang telah melayani Tuhan dengan setia untuk memberi amaran kepada Yehuda bahawa Tuhan akan menghukum mereka kerana dosa mereka. Namun penghakiman Tuhan belum terjadi, para pemimpin Yehuda bahkan memukul dan memasungkan dia. Yeremia bersungut kepada Tuhan: “Ya TUHAN, Engkau telah menipu aku” (ayat 7). Nabi Yeremia percaya bahawa Tuhan telah gagal bertindak. Firman Tuhan hanya menyebabkan “[dia] diejek dan dihina setiap waktu” (ayat 8). “Terkutuklah hari kelahiranku!” kata Yeremia. “Mengapa aku dilahirkan? Adakah hanya untuk menderita dan mengalami kesusahan? Adakah hidupku akan berlalu semata-mata untuk mendapat malu?” (ayat 14, 18). Akhirnya Drew dibebaskan, tetapi melalui pengalaman pahitnya, dia mula memahami bahawa mungkin Tuhan memilih dia—seperti Dia memilih Yeremia—kerana dia lemah. Jika dia dan Yeremia adalah kuat secara semula jadi, mereka mungkin telah menerima pujian atas kejayaan mereka. Tetapi jika mereka adalah lemah secara semula jadi, maka segala kemuliaan bagi ketabahan mereka akan terarah kepada Yesus (1 Korintus 1:26-31). Kelemahannya menjadikan dia orang yang tepat sebagai wadah Yesus.
Demi Injil
Pada tahun 1916, Nelson baru menamatkan pengajiannya dalam bidang perubatan di tempat asalnya, Virginia. Kemudian pada hujung tahun itu, selepas 6 bulan berkahwin dengan isterinya, mereka tiba di China. Pada usia 22 tahun dia menjadi pakar bedah di Hospital Love and Mercy (Hospital Kasih dan Rahmat), iaitu satu-satunya hospital di kawasan yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 juta penduduk berbangsa Cina. Nelson, bersama keluarganya, menetap di situ selama 24 tahun, menjalankan rawatan di hospital, melakukan pembedahan, dan berkongsi Injil dengan ribuan orang. Nelson Bell yang dahulunya dipanggil “hantu asing” oleh penduduk tempatan yang tidak mempercayai orang asing, kini dikenali sebagai “Bell yang Sayangkan Orang Cina.” Anak perempuannya yang bernama Ruth kemudian berkahwin dengan seorang penginjil yang bernama Billy Graham. Walaupun Nelson ialah seorang pakar bedah dan guru Alkitab yang cemerlang, bukan kemahirannya yang menarik ramai orang kepada Yesus, tetapi sifat dan cara hidupnya yang berpadanan dengan Injil. Dalam surat Paulus kepada Titus, iaitu seorang pemimpin muda bukan Yahudi yang menjaga jemaah di Kreta, rasul Paulus mengatakan bahawa hidup seperti Kristus adalah penting kerana boleh membuat Injil itu “menarik” (Titus 2:10, AVB). Namun kita tidak melakukan hal ini atas kekuatan kita sendiri. Rahmat Tuhan menolong kita menjalani “hidup dengan mengawal diri, jujur, dan menghormati Allah” (ayat 12), yang mencerminkan “asas kepercayaan yang benar”(ayat 1). Ramai orang di sekeliling kita masih belum mendengar berita baik tentang Kristus, tetapi mereka mengenali kita. Semoga Tuhan menolong kita merenungkan dan menyampaikan mesej-Nya dengan cara yang menarik.