Musim cuti semakin hampir, penghantaran pakej telah lewat kerana peningkatan pesanan atas talian yang belum pernah berlaku sebelum ini. Saya masih ingat suatu masa dahulu ketika keluarga saya lebih suka pergi ke kedai untuk membeli barang kerana kami tahu bahawa kami tidak mempunyai kawalan ke atas kelajuan penghantaran mel. Namun apabila ibu saya mendaftar untuk akaun yang menjamin penghantaran yang laju, jangkaan kami berubah. Kini dengan jaminan penghantaran dalam masa 2 hari, kami terbiasa menerima barang dengan cepat dan berasa amat kecewa apabila berlaku penangguhan.

Kita hidup di dunia yang terbiasa dengan keadaan yang serba cepat sehingga kita menjadi kurang sabar untuk menunggu. Tetapi dalam alam rohani, kesabaran tetap mendapat ganjaran. Ketika kitab Ratapan ditulis, orang Israel sedang berkabung atas kemusnahan Yerusalem oleh tentera Babilonia, dan mereka menghadapi beberapa siri cabaran. Namun di tengah-tengah kekacauan itu, penulis dengan berani menegaskan kerana dia yakin bahawa Tuhan akan memenuhi keperluannya, oleh itu dia berharap kepada-Nya (Ratapan 3:24). Tuhan tahu kita cenderung menjadi cemas apabila jawapan doa-doa kita tertangguh. Firman Tuhan mengingatkan kita untuk menantikan Tuhan. Kita tidak perlu berasa tertekan atau bimbang kerana “Kasih TUHAN abadi dan rahmat-Nya tidak berkesudahan” (ayat 22). Sebaliknya, dengan pertolongan Tuhan kita boleh “tenang, tunggulah dengan sabar sampai Dia bertindak” (Mazmur 37:7). Semoga kita menantikan Tuhan, mempercayai kasih dan kesetiaan-Nya walaupun kita bergelut dengan keinginan dan doa-doa yang belum dikabulkan.