Lyn-Lyn yang berusia 10 tahun akhirnya telah dijadikan anak angkat, tetapi dia berasa takut. Sewaktu tinggal di rumah anak yatim, tempat yang dia dibesarkan, dia pernah dihukum kerana kesilapan yang kecil. Lyn-Lyn bertanya kepada ibu angkatnya, yang juga merupakan kawan saya: “Ibu, adakah ibu sayang aku?” Ketika kawan saya menjawab ya, Lyn-Lyn bertanya lagi, “Jika aku buat silap, ibu masih sayang aku?”
Walaupun tidak diucapkan, sesetengah kita mungkin bertanya soalan yang sama apabila kita merasakan bahawa kita telah mengecewakan Tuhan: “Adakah Engkau masih mengasihiku?” Kita tahu bahawa selagi kita hidup di dunia ini, kita boleh gagal dan melakukan dosa. Mungkin kita tertanya-tanya, adakah kesilapan saya menjejaskan kasih Tuhan kepada saya?
Yohanes 3:16 meyakinkan kita tentang kasih Tuhan. Dia memberikan Anak-Nya Yesus untuk mati bagi pihak kita supaya jika kita percaya kepada-Nya, kita akan menerima hidup yang kekal. Namun bagaimana pula jika kita mengecewakan-Nya walaupun setelah kita meletakkan kepercayaan kita kepada-Nya? Ketika itulah kita perlu ingat bahawa “Kristus mati bagi kita semasa kita masih berdosa” (Roma 5:8). Jika Dia boleh mengasihi kita dalam keadaan kita yang paling teruk, bagaimana pula kita boleh meragui kasih-Nya pada hari ini sedangkan kita ialah anak-Nya?
Apabila kita berbuat dosa, Bapa kita yang penuh kasih akan membetulkan dan mendisiplinkan kita. Itu bukan hukuman (8:1); itulah kasih (Ibrani 12:6). Marilah kita hidup sebagai anak-anak yang dikasihi oleh Tuhan dan bersandar dalam jaminan kasih-Nya kepada kita yang teguh dan kekal.