Pada tahun 1990, para penyelidik Perancis mengalami masalah komputer: terjadinya ralat data apabila mereka memproses umur Jeanne Calment. Dia berusia 115 tahun pada ketika itu, jangka masa umur yang di luar kiraan program komputer. Mereka yang membuat program tersebut mengandaikan bahawa tiada seorang pun boleh mencapai jangka hayat yang sebegitu lama! Namun ternyata, Jeanne hidup sehingga usianya 122 tahun.

Pemazmur menulis, “Tujuh puluh tahun sahaja usia kami, lapan puluh, jika kami kuat” (Mazmur 90:10). Ini adalah penulisan yang bersifat lambang untuk mengatakan bahawa berapa pun usia hidup kita, bahkan sekalipun kita mencapai usia seperti Jeanne Calment, hidup kita di bumi sememangnya terhad. Hidup kita berada di tangan Tuhan yang berdaulat (ayat 5). Namun secara rohani, kita diingatkan tentang “masa Tuhan” yang sebenarnya: “Seribu tahun seperti sehari bagi-Mu” (ayat 4).

Dalam diri Yesus Kristus pula, “jangka hayat” telah diberikan makna yang baharu: “Sesiapa yang percaya kepada Anak itu beroleh hidup sejati dan kekal” (Yohanes 3:36). “Beroleh” adalah dalam bentuk masa kini: sekarang, pada saat ini ketika tubuh fizikal kita menghadapi masalah dan kedukaan, tetapi masa depan kita diberkati, dan usia kita tiada hadnya.

Oleh sebab ini, kita bersukacita dan menaikkan doa bersama dengan si pemazmur, “Puaskanlah kami dengan kasih-Mu pada setiap pagi, supaya kami dapat menyanyi dan bergembira seumur hidup kami” (Mazmur 90:14).