Selama lebih daripada setahun, nama asalnya ialah “Baby Boy.” Dia ditemui oleh seorang pengawal keselamatan yang mendengar tangisannya. Baby Boy telah ditinggalkan—berjam-jam lamanya di dalam sebuah beg dan tubuhnya hanya dibalut dengan kain—di tempat letak kereta di sebuah hospital.
Tidak lama selepas penemuannya, Perkhidmatan Sosial menelefon sepasang suami isteri yang akan menjadi keluarga tetapnya. Pasangan itu mengambil bayi itu dan menamakannya Grayson (bukan nama sebenar). Selepas proses pengambilan anak angkat selesai, akhirnya Grayson menjadi nama rasminya. Hari ini anda dapat bertemu dengan seorang kanak-kanak girang yang tidak dapat menyebut perkataan r dalam namanya dengan tepat apabila dia bersemangat berbual dengan anda. Anda tidak akan menyangka bahawa dia pernah ditinggalkan dalam sebuah beg.
Pada akhir hayatnya, Musa mengimbas kembali tentang sifat dan perbuatan Tuhan ke atas orang Israel. “Namun kasih TUHAN terhadap nenek moyang kamu sedemikian besar,” kata Musa kepada mereka (Ulangan 10:15). Kasih ini mempunyai skop yang luas. “Dia memastikan agar anak yatim piatu dan balu diperlakukan dengan adil. Dia mengasihi orang asing yang tinggal bersama dengan bangsa kita; Dia memberi mereka makanan dan pakaian,” kata Musa (ayat 18). “Pujilah Dia kerana Dia Allah kamu” (ayat 21).
Sama ada melalui pengambilan seorang anak angkat atau hanya melalui kasih dan pelayanan, setiap kita dipanggil untuk memantulkan kasih Tuhan. Pasangan yang penyayang itu menjadi alat yang dipakai oleh Tuhan untuk menghulurkan kasih-Nya kepada seseorang yang mungkin diabaikan dan tidak diperhatikan. Kita juga boleh melayani sebagai alat yang dipakai oleh Tuhan.