Pada tahun 1876, Alexander Graham Bell, iaitu pencipta telefon yang pertama di dunia bercakap melalui telefon buat pertama kalinya. Dia menelefon pembantunya, Thomas Watson dan berkata, “Watson, mari sini. Saya ingin berjumpa dengan kamu.” Panggilan telefon itu terputus-putus dan tidak jelas tetapi dapat difahami, Watson mendengar apa yang dikatakan oleh Bell. Kata-kata pertama yang diucapkan oleh Bell melalui talian telefon membuktikan bahawa hari baharu bagi sistem komunikasi manusia telah bermula.
Bagi memulakan fajar hari pertama pada masa “bumi belum berbentuk dan masih kacau-bilau” (Kejadian 1:2), Tuhan mengucapkan firman-Nya yang pertama dicatatkan dalam Alkitab: “Hendaklah ada cahaya” (ayat 3). Kata-kata ini penuh dengan kuasa kreatif. Dia berfirman, dan apa yang difirmankan-Nya menjadi ada (Mazmur 33:6, 9). Tuhan berfirman, “hendaklah ada cahaya,” lalu cahaya pun ada. Firman-Nya dengan serta-merta menghasilkan kemenangan apabila kegelapan dan kacau-bilau memberi laluan kepada kecemerlangan cahaya dan perintah-Nya. Cahaya adalah jawapan Tuhan untuk menerangi kegelapan yang menguasai alam. Selepas Dia menciptakan cahaya, Dia “berpuas hati melihat hal itu” (Kejadian 1:4).
Firman Tuhan yang pertama terus berkuasa dalam hidup orang yang percaya kepada Yesus. Apabila fajar menyingsing pada setiap hari yang baharu, Tuhan seolah-olah sedang mengucapkan semula firman-Nya dalam hidup kita. Apabila kegelapan—secara harfiah dan secara metafora—memberi laluan kepada kecemerlangan cahaya-Nya, mari kita memuji-Nya dan mengakui bahawa Dia memanggil kita dan benar-benar melihat kita.