Semasa memandu ke lokasi yang kami belum pernah pergi, tiba-tiba suami saya memperhatikan bahawa tunjuk arah GPS seolah-olah tidak berfungsi. Selepas memasuki lebuh raya empat lorong yang kami biasa tahu, kami dinasihatkan untuk keluar dari situ dan mengikut lorong di bahagian hadapan yang selari dengan lebuh raya itu. “Saya akan percaya arahan GPS,” kata Dan, walaupun tiada kesesakan pada jalan asal. Namun selepas kira-kira 16 kilometer, trafik di lebuh raya di bahagian lorong sebelah menjadi perlahan dan hampir tidak bergerak. Apa punca masalahnya? Kerja-kerja membina jalan yang besar sedang dilakukan. Lorong baru yang kami gunakan pula? Tidak banyak kereta di jalan raya itu, malah laluan ke destinasi kami menjadi lancar. “Saya tidak dapat melihat apa yang ada di hadapan,“ kata Dan, “tetapi GPS boleh.” Kami sama-sama bersetuju, “demikian juga dengan Tuhan.”
Tuhan mengetahui apa yang bakal berlaku, dalam mimpi Dia memberikan perubahan arah yang sama kepada ahli-ahli kaji bintang yang datang dari timur untuk menyembah Yesus, “anak yang baru lahir itu … raja orang Yahudi” (Matius 2:2). Oleh sebab Raja Herodes berasa terganggu dengan berita tentang seorang raja “saingannya”, maka dia berbohong kepada ahli-ahli kaji bintang ketika menghantar mereka ke Betlehem, katanya, “Pergilah dan carilah Anak itu dengan saksama. Apabila kamu menjumpai Dia, beritahulah beta, supaya beta juga boleh pergi menyembah Dia” (ayat 8). Kemudian mereka diberi amaran dalam mimpi “jangan kembali kepada Herodes,” kerana itu, “mereka balik ke negeri asal mereka melalui jalan lain” (ayat 12).
Tuhan juga akan membimbing langkah kita. Semasa kita melalui lebuh raya kehidupan, kita boleh mempercayai-Nya sebab Dia dapat melihat apa yang di hadapan, dan tetap yakin bahawa “Dia akan menunjukkan cara hidup yang baik kepada [kita]” apabila kita berserah kepada arahan-Nya (Amsal 3:6).
Imbas kembali ketika Tuhan mengubah arah hidup anda. Ketika anda mempercayai Dia, apakah hasilnya?
Tuhan, aku tidak dapat melihat jalan di hadapan seperti-Mu. Tolonglah beri aku hikmat untuk mengetahui apabila Engkau mengubah arah hidupku.
Dalam Perjanjian Baru, kisah tentang mimpi hanya tercatat dalam kitab Matius. Lima kisah yang pertama adalah berkisar tentang penjagaan dan perlindungan Tuhan ke atas bayi Yesus (fasal 1–2). Yang lain adalah berkaitan dengan isteri Pilatus (27:19).
Bagaimanapun, pada zaman kuno ketika masyarakat diketuai oleh laki-laki, Tuhan sering berfirman melalui mimpi. Menurut rekod, Tuhan pertama kali muncul dalam mimpi Raja Abimelekh. Setelah Abraham berbohong kepada raja, Abimelekh mengambil Sarah sebagai salah seorang gundiknya (Kejadian 20:1-7). Namun Tuhan campur tangan serta menghalang raja menghampiri Sarah atas sebab perjanjian-Nya dengan Abraham. Dalam Perjanjian Lama, Tuhan menggunakan mimpi untuk melindungi hamba-hamba-Nya, menampakkan diri-Nya dengan cara yang istimewa (28:12), memberi bimbingan (31:10-13), memberi amaran tentang perkara-perkara yang akan berlaku (37:5-20), dan meramalkan masa depan sesebuah negara (fasal 40–41). Peribadi-peribadi lain yang telah mendapat mimpi (atau penglihatan) termasuklah Daniel (baca Daniel 2, 4, 7–12), Gideon (Hakim-Hakim 7), dan Salomo (1 Raja-Raja 3).
Alyson Kieda