Buku yang bertajuk Walk On, merupakan memoir yang menarik hasil karangan Ben Malcolmson, iaitu seorang pelajar yang sebenarnya tiada pengalaman dalam permainan bola sepak. Dia cuma seorang “pemain tambahan”—pemain yang tidak direkrut—untuk pasukan juara Rose Bowl Universiti California Selatan pada tahun 2007. Sebagai seorang wartawan di universiti, Malcolmson memutuskan untuk menulis laporan secara langsung tentang proses percubaan yang melelahkan itu. Bayangkan betapa kejutnya ketika dia memenangi tempat yang diidam-idamkan dalam pasukan tersebut.
Selepas menyertai pasukan itu, iman Malcolmson mendorongnya untuk mencari kehendak Tuhan yang memberinya peluang yang tidak dijangka ini. Tetapi rakan sepasukannya bersikap acuh tak acuh terhadap perbincangan tentang iman, dan itu menyebabkan dia menjadi tawar hati. Semasa dia berdoa untuk arah langkah seterusnya, Malcolmson membaca peringatan yang penuh kuasa dalam kitab Yesaya, Tuhan berkata, “Demikian jugalah firman yang Aku ucapkan akan berjaya mencapai tujuan-Ku” (Yesaya 55:11). Ayat ini telah mengilhami Malcolmson untuk memberikan sebuah Alkitab kepada setiap pemain dalam pasukannya secara rahsia. Sekali lagi dia mengalami penolakan. Tetapi beberapa tahun kemudian, Malcolmson mengetahui bahawa seorang pemain telah membaca Alkitab yang diberikannya—dan tidak lama sebelum kematiannya yang tragis, dia telah menunjukkan keinginan untuk mengenal dan membina hubungan dengan Tuhan, yang dikenalinya melalui pembacaan Alkitab.
Kemungkinan besar ramai antara kita telah berkongsi Yesus dengan rakan atau ahli keluarga, tetapi mereka hanya bersikap acuh tak acuh atau langsung menolaknya. Namun, walaupun kita tidak melihat hasilnya dengan segera, kebenaran Tuhan adalah berkuasa dan akan mencapai tujuan-Nya pada waktu-Nya.