Pada tahun 1916, Nelson baru menamatkan pengajiannya dalam bidang perubatan di tempat asalnya, Virginia. Kemudian pada hujung tahun itu, selepas 6 bulan berkahwin dengan isterinya, mereka tiba di China. Pada usia 22 tahun dia menjadi pakar bedah di Hospital Love and Mercy (Hospital Kasih dan Rahmat), iaitu satu-satunya hospital di kawasan yang mempunyai sekurang-kurangnya 2 juta penduduk berbangsa Cina. Nelson, bersama keluarganya, menetap di situ selama 24 tahun, menjalankan rawatan di hospital, melakukan pembedahan, dan berkongsi Injil dengan ribuan orang. Nelson Bell yang dahulunya dipanggil “hantu asing” oleh penduduk tempatan yang tidak mempercayai orang asing, kini dikenali sebagai “Bell yang Sayangkan Orang Cina.” Anak perempuannya yang bernama Ruth kemudian berkahwin dengan seorang penginjil yang bernama Billy Graham.
Walaupun Nelson ialah seorang pakar bedah dan guru Alkitab yang cemerlang, bukan kemahirannya yang menarik ramai orang kepada Yesus, tetapi sifat dan cara hidupnya yang berpadanan dengan Injil. Dalam surat Paulus kepada Titus, iaitu seorang pemimpin muda bukan Yahudi yang menjaga jemaah di Kreta, rasul Paulus mengatakan bahawa hidup seperti Kristus adalah penting kerana boleh membuat Injil itu “menarik” (Titus 2:10, AVB). Namun kita tidak melakukan hal ini atas kekuatan kita sendiri. Rahmat Tuhan menolong kita menjalani “hidup dengan mengawal diri, jujur, dan menghormati Allah” (ayat 12), yang mencerminkan “asas kepercayaan yang benar”(ayat 1).
Ramai orang di sekeliling kita masih belum mendengar berita baik tentang Kristus, tetapi mereka mengenali kita. Semoga Tuhan menolong kita merenungkan dan menyampaikan mesej-Nya dengan cara yang menarik.