Bulan: Disember 2022

Mengakhiri dengan Baik

Pada umur 103 tahun, seorang wanita yang bernama Man Kaur telah menyertai Kejohanan Olahraga Masters Dunia di Poland sebagai atlet wanita tertua dari India. Dengan luar biasanya, Kaur memenangi pingat emas dalam 4 acara (lempar lembing, lontar peluru, larian 60 meter, dan larian 200 meter). Namun, apa yang paling mengejutkan adalah dia berlari lebih laju berbanding dengan lariannya dalam kejohanan pada tahun 2017. Sebagai seorang nenek tua yang sudah memasuki abad keduanya, Kaur menunjukkan kita caranya mengakhiri hidup ini dengan baik.

Rahmat dalam Kekacauan

Saya hampir terlelap, namun tiba-tiba terdengar bunyi bising datang dari ruang bawah tanah. Anak lelaki saya sedang bermain gitar elektriknya. Dinding rumah bergema. Tiada keamanan. Tiada ketenangan. Tiada rehat. Beberapa ketika kemudian, suatu iringan muzik menyapa telinga saya: anak perempuan saya sedang memainkan lagu “Sungguh Besar Anugerah-Nya” (Amazing Grace) dengan pianonya.

Biasanya saya suka mendengar anak lelaki saya bermain gitar. Tetapi pada waktu tersebut, itu sangat mengganggu dan menjengkelkan saya. Dalam sekelip mata, nada muzik daripada lagu John Newton yang terkenal ini mengingatkan saya akan rahmat yang muncul dalam kekacauan. Tidak kira betapa hebatnya kebisingan, penolakan atau kekeliruan yang mungkin muncul daripada ribut kehidupan kita, nada rahmat daripada Tuhan tetap berkumandang dengan jelas dan benar, mengingatkan kita bahawa Dia sentiasa memperhatikan dan menjaga kita.
Kita juga melihat kenyataan ini dalam Alkitab. Dalam Mazmur 107:23-32, para pelayar di lautan yang luas berjuang dengan kuat melawan pusaran air yang mampu menelan kapal mereka dalam sekelip mata. “Orang kehilangan keberanian menghadapi bahaya sedemikian” (ayat 26). Namun mereka tidak berputus asa, tetapi “mereka berseru kepada TUHAN, dan Dia menyelamatkan mereka daripada kecemasan” (ayat 28). Akhirnya kita membaca: “Mereka bersukacita kerana ketenangan itu, dan Dia memimpin mereka ke pelabuhan yang dituju” (ayat 30).

Meski Tak Layak Diriku

  Charlotte Elliot yang muda itu tidak dapat tidur. Setelah mengalami kecacatan fizikal selama bertahun-tahun, dia menjadi tumpuan utama untuk acara pengumpulan dana bagi pengajian tinggi, semasa bazar diadakan di gereja pada keesokan harinya. Tetapi aku tidak layak. Kata-kata itulah bermain dalam fikiran Charlotte Elliot. Dia berguling di katil sepanjang malam, meragui kelayakannya, dan mempersoalkan setiap aspek kehidupan rohaninya. Pada keesokan harinya, Charlotte yang masih berasa gelisah akhirnya mengambil sebatang pen dan sekeping kertas, lalu menulis kata-kata lagu pujian klasik, “Meski Tak Layak Diriku” (Just as I am).

“Meski tak layak diriku / Tetapi kar’na darah-Mu / Dan kar’na Kau memanggilku, / Ku datang Yesus pada-Mu.”
Kata-katanya yang ditulis pada tahun 1835, menggambarkan bagaimana Yesus memanggil para pengikut-Nya datang dan melayani-Nya. Ini bukan kerana mereka sudah bersedia. Mereka belum bersedia. Tetapi kerana Yesus telah memberi kuasa kepada mereka—diri mereka seadanya. 12 Pengikut Yesus terdiri daripada sekumpulan orang yang dihina masyarakat, termasuklah seorang pemungut cukai, Si Patriot, dua bersaudara yang bercita-cita tinggi (lihat Markus 10:35-37), dan Yudas Iskariot yang “mengkhianati Yesus” (Matius 10:4). Tetapi Yesus masih memberi kuasa kepada mereka untuk “sembuhkanlah orang yang sakit; bangkitkan orang yang mati; sembuhkanlah orang berpenyakit kulit yang mengerikan dan usirlah roh jahat”(ayat 8)—semuanya dilakukan tanpa membawa wang, beg sedekah, lebihan pakaian atau kasut, ataupun sebatang tongkat untuk perjalanan mereka (ayat 9-10).

Dalam Segala Urusan Kita

Pada tahun 1524, Martin Luther memperhatikan bahawa: “Para peniaga mempunyai satu peraturan umum yang merupakan prinsip asas mereka ... Aku tidak peduli tentang sesamaku, asalkan aku mempunyai keuntungan untuk memuaskan ketamakanku.” Selepas lebih daripada 200 tahun kemudian, John Woolman yang berasal dari Mount Holy, New Jersey, mengendalikan kedai jahitnya berdasarkan komitmen kepada Tuhan. Oleh sebab dia menyokong pembebasan hamba, Woolman enggan membeli sebarang bekalan kapas dan pewarna kain daripada syarikat-syarikat yang menggunakan buruh paksa. Dengan hati nurani yang jelas, dia mengasihi sesamanya dan hidup berdasarkan keikhlasan dan ketulusan dalam segala urusannya.

Rasul Paulus berusaha menjalani hidup dengan “keikhlasan dan ketulusan” (2 Korintus 1:12). Apabila sesetengah orang di Korintus cuba mempersoalkan kuasanya sebagai rasul Yesus, dia mempertahankan tindakannya di tengah-tengah mereka. Dia menulis bahawa kata-kata dan tindakannya dapat bertahan walaupun melalui penelitian yang rapi (ayat 13). Dia juga menunjukkan bahawa dia bergantung kepada kuasa dan rahmat Tuhan untuk keberkesanannya, dan bukan kuasa-nya sendiri (ayat 12). Pendek kata, iman Paulus kepada Kristus mempengaruhi segala yang dilakukannya.