Pada tahun 1524, Martin Luther memperhatikan bahawa: “Para peniaga mempunyai satu peraturan umum yang merupakan prinsip asas mereka … Aku tidak peduli tentang sesamaku, asalkan aku mempunyai keuntungan untuk memuaskan ketamakanku.” Selepas lebih daripada 200 tahun kemudian, John Woolman yang berasal dari Mount Holy, New Jersey, mengendalikan kedai jahitnya berdasarkan komitmen kepada Tuhan. Oleh sebab dia menyokong pembebasan hamba, Woolman enggan membeli sebarang bekalan kapas dan pewarna kain daripada syarikat-syarikat yang menggunakan buruh paksa. Dengan hati nurani yang jelas, dia mengasihi sesamanya dan hidup berdasarkan keikhlasan dan ketulusan dalam segala urusannya.

Rasul Paulus berusaha menjalani hidup dengan “keikhlasan dan ketulusan” (2 Korintus 1:12). Apabila sesetengah orang di Korintus cuba mempersoalkan kuasanya sebagai rasul Yesus, dia mempertahankan tindakannya di tengah-tengah mereka. Dia menulis bahawa kata-kata dan tindakannya dapat bertahan walaupun melalui penelitian yang rapi (ayat 13). Dia juga menunjukkan bahawa dia bergantung kepada kuasa dan rahmat Tuhan untuk keberkesanannya, dan bukan kuasa-nya sendiri (ayat 12). Pendek kata, iman Paulus kepada Kristus mempengaruhi segala yang dilakukannya.

Oleh sebab setiap kita hidup sebagai duta bagi Yesus, kita haruslah berhati-hati dan menjadi saksi berita baik tentang Yesus dalam segala urusan kita—keluarga, perniagaan dan lain-lain. Apabila kita mendedahkan kasih-Nya kepada orang lain dalam kuasa dan rahmat-Nya, kita memuliakan Tuhan dan mengasihi sesama kita.