Cerita telah menawan hati manusia sejak awal penciptaan—berfungsi sebagai cara untuk mewariskan pengetahuan kepada generasi yang seterusnya lama sebelum wujudnya bahasa bertulis. Setiap kita tahu tentang keseronokan mendengar atau membaca cerita dan segera tertarik dengan ayat permulaan cerita seperti “pada suatu masa dahulu.” Kuasa sebuah cerita nampaknya melangkaui keseronokan semata-mata: apabila kita mendengar cerita bersama-sama, degupan jantung kita seolah-olah disegerakkan! Walaupun degupan jantung setiap individu adalah berbeza sepanjang hari, dan degupan jantung seseorang mungkin sama dengan degupan jantung orang lain secara kebetulan, penyelidikan terkini menunjukkan bahawa jantung kita mungkin akan berdegup dalam irama yang sama apabila kita mendengar cerita yang sama pada waktu yang sama.

Tuhan memulakan cerita-Nya dengan kata-kata, “Pada mulanya” (Kejadian 1:1). Pada saat Adam dan Hawa menarik nafas pertama mereka (ayat 27), Tuhan telah menggunakan cerita tersebut untuk membentuk bukan sahaja kehidupan kita secara individu tetapi juga—dan mungkin lebih penting—seluruh kehidupan kita sebagai anak-anak-Nya. Melalui Alkitab—catatan cerita bukan fiksyen yang paling mengagumkan—hati kita sebagai umat yang percaya kepada Yesus telah disatukan sebagai manusia yang dipilih untuk memenuhi tujuan Tuhan (1 Petrus 2:9).

Sebagai tindak balas, semoga hati kita berdegup dalam irama bersama, bersukacita dengan pekerjaan Tuhan yang kreatif. Selain itu, marilah kita berkongsi cerita-Nya kepada orang lain dengan mengisytiharkan “keagungan-Nya kepada bangsa-bangsa, dan perbuatan-Nya yang mengagumkan kepada segenap manusia” (Mazmur 96:3), serta menjemput mereka menjadi umat-Nya.