Semasa kami meletakkan kenderaan kami berdekatan dengan sebidang ladang yang luas dan merentasinya untuk sampai ke rumah, selalunya kami dapati beberapa benih cocklebur (tumbuhan berduri kecil) menempel pada pakaian kami—terutamanya pada musim luruh. Tumbuhan “pembonceng” ini akan melekat pada pakaian, kasut, atau apa sahaja yang menyentuhnya dan dibawa ke destinasi seterusnya. Ini adalah cara alam semula jadi benih tumbuhan tersebut tersebar ke kawasan ladang saya dan ke seluruh dunia.
Ketika saya cuba menanggalkan cocklebur yang melekat dengan berhati-hati, saya sering terfikir tentang firman Tuhan yang menasihati kita untuk “berpegang kepada apa yang baik” (Roma 12:9). Apabila kita cuba menunjukkan kasih kepada orang lain, itu boleh menjadi cabaran bagi kita. Namun Roh Kudus menolong kita berpegang pada apa yang baik dengan semua yang kita miliki, justeru itu kita mampu menangkis kejahatan dan menunjukkan kasih kita “dengan ikhlas” kerana Dia membimbing kita (ayat 9).
Benih cocklebur tidak akan tertanggal dengan sekadar menyapunya dengan tangan. Tumbuhan tersebut akan tetap melekat pada pakaian anda. Apabila kita memberi tumpuan pada apa yang baik dengan mengingati pengampunan, belas kasihan, serta perintah Tuhan, kita juga mampu berpaut kepada orang yang kita sayangi dalam kekuatan-Nya. Tuhan menolong kita tetap “saling mengasihi,” mengingatkan kita untuk mengutamakan keperluan orang lain melebihi keperluan diri kita sendiri (ayat 10).
Ya, menanggalkan cocklebur itu mencabar, tetapi tumbuhan itu juga mengingatkan saya berpaut pada orang lain dengan penuh kasih serta menggenggam kuat “apa yang baik” dengan kekuatan Tuhan (ayat 9; Filipi 4:8-9).