Dalam usahanya untuk menggambarkan pantulan cahaya yang indah dalam lukisan minyak, artis Armand Cabrera bekerja dengan prinsip artistik utama: “Cahaya yang dipantulkan tidak pernah sekuat sumber cahayanya.” Dia memerhatikan pelukis baharu cenderung membesar-besarkan cahaya yang dipantulkan. Dia berkata, “Cahaya yang dipantulkan adalah bayangan, oleh itu peranannya adalah menyokong, bukan bersaing dengan kawasan yang bercahaya dalam lukisan anda.”
Kita mendengar pemahaman yang sama dalam Alkitab tentang Yesus sebagai “cahaya manusia” (Yohanes 1:4). Yohanes Pembaptis “datang untuk memberikan kesaksian tentang cahaya itu, supaya semua orang akan percaya melalui Dia” (ayat 7). Penulis kitab Injil ini memberitahu kita, “Dia sendiri [Yohanes] bukanlah cahaya itu, dia datang untuk memberikan kesaksian tentang-Nya” (ayat 8).
Seperti Yohanes, kita dipilih oleh Tuhan untuk memantulkan cahaya Kristus kepada mereka yang hidup dalam bayang-bayang dunia yang tidak percaya kepada Dia. Inilah peranan kita, seperti yang dikatakan oleh satu sumber, “mungkin kerana orang yang tidak percaya kepada Yesus tidak dapat bertahan untuk berhadapan dengan kemuliaan cahaya-Nya yang bersinar terang-benderang secara langsung.”
Cabrera mengajar pelajarnya bahawa “apa-apa sahaja yang mempunyai cahaya langsung jatuh ke atasnya, menjadi sumber cahaya itu sendiri.” Begitu juga dengan Yesus sebagai “cahaya benar yang menerangi setiap manusia” (ayat 9), kita boleh bersinar sebagai saksi. Sewaktu kita mencerminkan Dia, semoga dunia tertarik melihat cahaya-Nya yang bersinar melalui kita.